Transformasi kampung nelayan

Transformasi kampung nelayan Perlis

KECERIAAN di setiap rumah penduduk yang berwarna-warni di Kampung Seberang Ramai dengan lorong-lorong kawasan tersebut pula diserikan dengan pelbagai hiasan. - MINGGUAN/ IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kotor, tidak terurus, rumah uzur dan dibelenggu kemiskinan. Lebih 80 peratus penduduk daripada golongan nelayan di situ pula adalah asnaf. Itu gambaran suasana perkampungan nelayan Seberang Ramai, Kuala Perlis suatu ketika dahulu.

Perkampungan nelayan itu merangkumi tujuh buah kampung iaitu Kampung Tengah, Hujung Tanjung, Seberang Jaya, Tandiap, Seberang Alor, Baru Seberang dan Kampung Pulau Ketam dengan penduduk lebih 2,000 orang.

Difahamkan, perkampu­ngan tersebut wujud sejak awal 1920-an yang mana pada waktu itu hanya terdapat enam laluan de­ngan penduduk menggunakan titi kayu yang meng­hubungkan antara rumah ke rumah.

Memuatkan artikel berkaitan…
KAMPUNG Seberang Ramai, Kuala Perlis kini berubah wajah sepenuhnya dan menjadi antara lokasi tarikan pelancongan utama di Perlis. – MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN

Kini, daripada perkampu­ngan nelayan biasa, Kampung Se­berang Ramai berubah wajah sepenuhnya dan menjadi antara lokasi tarikan pelanco­ngan utama di negeri ini yang menggamit kehadiran pelancong dari seluruh negara terma­suk dari luar Malaysia.

Transformasi luar biasa itu ber­mula hasil cetusan idea Ra­ja Muda Perlis, Tuanku Syed Fai­zud­din Putra Jamalullail dan anak­anda sulung baginda, Pute­ri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Baginda dan Puteri Sharifah Khatreena mahu melihat transformasi di perkampungan itu selain bertujuan menjadikannya sebagai contoh kepada masyarakat setempat dan ia menjadi realiti.

Lokasi Program Transformasi Diraja di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai menyajikan pemandangan dan suasana memukau selain pelbagai tarikan baharu wujud di kawasan berkenaan.

Mengunjungi perkampu­ngan berkenaan dapat menyaksikan kec­eriaan di setiap rumah pendu­duk yang berwarna-warni. Lorong-lorong kawasan tersebut pula dihias menarik dengan pelbagai hiasan.

JAMBATAN Tuanku Syed Putra tersergam indah di kawasan Seberang Ramai, Kuala Perlis sekali gus menjadikan perkampungan kecil ini dianggap sempurna sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan.

Jambatan Tuanku Syed Putra pula tersergam indah di kawasan tersebut, sekali gus menjadikan perkampungan kecil itu sempurna sebagai salah satu lokasi tarikan pelancongan.

Jambatan ikonik sejak tahun 1961 itu menghubungkan penduduk dari dua buah kampung iaitu Kampung Seberang Tok Pi dan Seberang Ramai dengan pemandangan dari atas jambatan tersebut memukau.

Projek pengindahan bermula sejak 2019 itu dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) dengan kerja­sama Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, pelbagai agensi serta jabatan kerajaan serta ma­syarakat setempat.

Terdapat juga 20 stesen pem­belajaran diwujudkan di kampung berkenaan hasil inisiatif Sekolah Kebangsaan (SK) Sebe­rang Ramai dalam menjayakan pelaksanaan projek pembelajaran berasaskan komuniti tersebut.

Projek yang mendapat kerjasama beberapa pihak seper­ti Jabatan Pendidikan negeri, MAIPs dan komuniti setempat itu mendapat pengiktirafan apabila SK Seberang Ramai disenaraikan antara lima se­kolah terbaik di Malaysia untuk bertanding dalam anugerah World’s Best Schools anjuran T4 Education.

Perubahan tersebut juga me­nyaksikan penduduk di situ mu­la menitikberatkan soal menjaga kebersihan bagi mengekalkan keindahan kampung selain menjadi lubuk rezeki kepada penduduk setempat.

SEBELUM INI KOTOR, TIDAK TERURUS

Pengerusi Kawasan Rukun Te­tangga (KRT) Kampung Te­ngah, Asri Jab, 50, berkata, se­be­lum ini, kawasan perkampu­ngan tersebut di­pe­nuhi de­ngan sampah-sarap dan berada dalam keadaan tidak terurus.

Katanya, apabila air pasang, sampah-sarap dibawa ke kawasan kampung itu yang membuatkan keadaannya sering menjadi kotor.

“Selepas melalui proses trans­formasi, pelbagai penambahbaikan dilakukan hasil bantuan MAIPs dan banyak pihak lain dalam mengindahkan kawasan perkampungan ini. Semasa awal proses transformasi ini, inisiatif berke­naan hanya melibatkan sebuah lorong yang membabitkan 25 buah rumah.

“Kini, sebanyak 200 hingga 300 buah rumah penduduk di 14 lorong membabitkan tujuh buah kampung menjalani pro­ses transformasi bagi mengubah landskap daripada sebuah pe­nempatan nelayan kepada destinasi pelancongan popular di Perlis,” katanya.

RUMAH berwarna-warni dan lorong-lorong diserikan dengan pelbagai hiasan menambah keunikan serta keindahan Kampung Seberang Ramai.

Kata Asri, hampir 80 pe­ratus penduduk di perkampu­ngan berkenaan sebelum ini adalah golongan asnaf dan rumah mereka kebanyakannya dalam keadaan uzur.
Menerusi transformasi itu, katanya, rumah-rumah pen­­duduk diperindah dan dicat semula bagi membangkitkan suasana ceria.

“Terdapat dua fokus utama me­nerusi projek transformasi ini iaitu membabitkan aspek kebersihan dan peluang menjana pendapatan buat komuniti,” katanya.

Katanya, antara cabaran terbesar melakukan trans­formasi adalah mengubah mentaliti masyarakat dan penduduk setempat.

Menurut Asri, penduduk perlu diberi pendedahan dan pendidikan terlebih dahulu tentang transformasi yang dilakukan di perkampungan berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif dikehendaki.

“Kita cuba memberi penekanan kepada masyarakat setempat tentang kepentingan aspek kebersihan dan pengurusan sampah agar perkampungan ini dapat diubah lanskapnya kepada suasana baharu.

“Selain itu, Kampung Warna-Warni Seberang Ramai me­nerima beberapa peng­iktirafan sebelum ini dan ia adalah kebanggaan kepada penduduk di apabila kampung mula mendapat perhatian,” katanya.

30 HINGGA 40 PERATUS PENDUDUK KELUAR KEMISKINAN

Di samping itu, Asri berkata, komuniti di perkampungan ber­kenaan mengambil inisiatif menubuhkan koperasi bermula tahun lalu dalam membantu mengembangkan lagi pa­saran produk-produk tempatan yang dihasilkan penduduk setempat.

Katanya, antara produk yang dihasilkan oleh komuniti di si­ni adalah ikan masin, kuih tradisional, pes laksa, putu mayam kuah laksa dan sotong pulut.

Ujarnya, sejak pelaksanaan projek transformasi itu, hampir 30 sehingga 40 peratus penduduk di kawasan tersebut berjaya keluar dari kepompong kemiskinan dan mampu me­ngusahakan perniagaan sendiri.

“Sebagai contoh, sepanjang dua minggu cuti persekolahan baru-baru ini, jumlah keuntu­ngan semua peniaga ini adalah sangat memberangsangkan ma­lah pada hari minggu sahaja me­reka mampu menjana antara RM3,000 hingga RM4,000.

“Penduduk mula menjana pendapatan dari segi perniagaan, produk-produk di sini dan perkhidmatan se­perti choley, basikal, buggy dan motosikal yang membawa pe­ngunjung mengelilingi perkampungan.

“Program transformasi kampung nelayan ini banyak membantu penduduk keluar daripada asnaf. Alhamdulilah, MAIPs ba­nyak membantu ke arah perubahan tersebut sama dari segi keindahan kampung dan merubah kehidupan,” katanya.

BAWA PERUBAHAN, UBAH MENTALITI

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor berkata, pelaksa­naan program berkenaan membawa perubahan besar kepada masyarakat di kawasan Kampung Seberang Ramai.

Katanya, perubahan itu antaranya dari segi kebersihan dan pengindahan fizikal kampung, peningkatan taraf kemudahan serta prasarana selain menjadi produk pelancongan.

“Ia turut membuka peluang kepada penduduk setempat menjana pendapatan dengan kehadiran pelancong. Ini termasuk mengekalkan dan memulihara warisan serta budaya setempat, pelaksanaan program akademik kepada anak-anak penduduk, latihan kemahiran dan peningkatan kompetensi serta peningkatan keselamatan setempat dan komuniti.

“Pelaksanaan Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai ini berjaya mengangkat kawasan kampung tradisi nelayan kepada sebuah destinasi pelancongan yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.

“Pelbagai inisiatif dilaksa­nan mula menampakkan hasil positif kepada persekitaran serta penduduk di kawasan kampung ini,” katanya.

TUMPUAN PELANCONG SELURUH NEGARA

Dalam pada itu, perkampu­ngan tersebut bukan sahaja menjadi tumpuan pengunjung dalam Malaysia malah pelancong luar negara yang datang un­tuk melihat sendiri keunikan ditampilkan masyarakat se­tempat.

Malah pada cuti persekolahan atau hujung minggu mampu menarik lebih 10,000 pengunjung sekali gus memberi sumber rezeki kepada penduduk setempat.

PELANCONG tidak melepaskan peluang mengunjungi perkampungan nelayan Seberang Ramai yang indah di Kuala Perlis.

Sebagai contoh, sepanjang dua minggu cuti persekolahan baru-baru ini, pengusaha choley yang membawa pelancong melawat kawasan sekitar Kampung Warna-Warni Kampung Seberang Ramai mam­pu menjana pendapatan men­cecah RM20,000.

Pengusaha choley, Nur Afiq Nasharudin, 27, berkata, pada cu­ti persekolahan khususnya semasa perayaan Krismas baru-baru ini, jumlah pelancong yang datang ke sini adalah sa­ngat luar biasa dan mereka turut memilih perkhidmatan choley untuk bersiar-siar.

“Sebelum ini, saya mampu menjalankan sebanyak 40 trip perjalanan sehari namun jumlah itu bertambah pada cuti persekolahan kali ini. Sepanjang dua minggu ini, saya mampu menjalankan sebanyak 60 ke 80 trip perjalanan sehari bagi membawa pelancong bersiar-siar di kampung ini dengan pendapatan sehingga RM20,000,” katanya.

Seorang pengunjung, Zulhelmi Mustafa,28, pula berkata, dia membawa ahli keluarganya dari Kulim, Kedah untuk melawat kampung nelayan warna-warni ini yang sering kali tular dalam media-media sosial.

“Perkampungan nelayan ini sungguh indah dengan rumah berwarna-warni dan lorong-lorong dihias cantik. Saya tidak dapat membayangkan dahulu orang kata perkampungan ini biasa dan kotor, kini suasana cukup indah,” katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Kuala Lumpur, Razif Ismail,38, berkata, setiap kali ke Perlis, dia dan keluarga pasti meluangkan masa singgah di perkampungan nelayan warna-warni tersebut.

Katanya, suasana di perkampungan nelayan tersebut cukup unik dengan rumah penduduk berwarna-warni selain terdapat banyak laman-laman yang diwujudkan dengan sangat menarik dan kreatif.

“Kalau dilihat, kampung ini juga mempunyai sejarah-sejarahnya yang tersendiri selain ada rumah-rumah yang menyajikan produk-produk menarik seperti dodol dan pelbagai kuih tradisional lain.

“Tidak keterlaluan dikatakan perkampungan nelayan di Seberang Ramai di Kuala Perlis ini merupakan antara perkampungan nelayan yang paling cantik di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini