Uniknya sastera kita - Utusan Malaysia

Uniknya sastera kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONSEP sastera kebangsaan bukanlah sesuatu yang baharu, walaupun pengisiannya memang belum dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh para penulis tanah air yang menghasilkan karya bahasa kebangsaan. Secara mudah, sastera kebangsaan merujuk kepada karya fiksyen yang ditulis dalam bahasa kebangsaan oleh penulis pelbagai kaum, agama, etnik dan latar belakang.

Karya itu pula perlu membantu pembaca memahami dan mengenali budaya, amalan serta pemikiran komuniti yang diwakili oleh penulis terbabit.

Secara tidak langsung, sastera kebangsaan menyumbang kepada persefahaman, tolak-ansur, perpaduan, hormat-menghormati dan sikap menerima dengan baik sebarang perbezaan yang wujud secara semula jadi.

Maka karya seumpama ini amat sesuai dijadikan medium bagi memupuk perpaduan dan menjalin silaturahim dalam jiwa kanak-kanak, remaja, belia dan orang dewasa.

Pengarang dan pengkaji sastera seperti Kamaludin Muhammad (Keris Mas), Anwar Ridhwan, Krishanan Maniam, Ismail Hussein, Othman Puteh, Eh Chot Cha Chan dan Mohamad Saleeh Rahamad mendapati cerpen dan novel Melayu pada 1960-an, 1970-an dan 1980-an masih belum mampu memaparkan realiti budaya, pemikiran dan kehidupan masyarakat bukan Melayu.

Namun begitu, kita wajar berfikir secara positif kerana sejak 1990-an, semakin ramai penulis kaum Cina dan India, keturunan Siam, Orang Asli serta pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak terlibat secara aktif dalam sastera kebangsaan.

Memanglah terdapat rungutan dan keluhan memandangkan karya penulis bukan Melayu jarang diangkat menjadi teks Komponen Sastera (Komsas) di sekolah. Tanpa menafikan kebenaran itu, para penulis dan pelopor sastera kebangsaan boleh menggunakan pelbagai cara lain untuk memastikan khalayak umum menyedari kewujudan penulis pelbagai kaum yang menyumbang kepada khazanah sastera tanah air.

Media sosial menjadi tempat paling mudah dan berkesan untuk mempromosi karya masing-masing. Semangat perpaduan, pemaparan budaya etnik dan aura positif yang terkandung dalam karya boleh tersebar luas lalu menyumbang kepada persefahaman dan integrasi.

MENTAL

Dalam usaha mencapai impian murni seperti di atas, para penulis perlulah terlebih dahulu bersiap secara mental. Mereka tidak perlu bersusah-payah memaparkan budaya kaum lain dalam karya.

Sastera kebangsaan bukan bermakna wajib ada babak yang menunjukkan watak pelbagai kaum saling membantu. Sebaliknya, penulis berperanan memaparkan realiti budaya, adat, pemikiran dan cara hidup komunitinya sendiri dalam karya yang dihasilkan. Apabila karya itu dibaca, maka khalayak pelbagai kaum bukan hanya berpeluang menikmati sebuah cerita.

Lebih daripada itu, pembaca mampu memahami budaya, adat, pemikiran dan cara hidup komuniti yang diketengahkan dalam fiksyen berkenaan.

Maka, bukanlah peranan dan tanggungjawab penulis untuk menampilkan watak Melayu, Cina, India, Siam, Iban, Melanau, Bajau, Murut, Jahai dan Temuan dalam cerpen dan novel yang dihasilkan.

Sebaliknya, para penulis hanya perlu memainkan peranan memaparkan realiti hidup komunitinya dalam karya. Apabila karya-karya yang dihasilkan oleh penulis pelbagai kaum, etnik dan agama ini dibaca oleh orang ramai, maka pembaca akan berpeluang mengenali realiti hidup dan corak pemikiran komuniti terbabit.

Demikianlah peranan sebenar karya sastera kebangsaan yang diperkenalkan pada 1971. Malangnya, generasi muda, penulis muda dan pelajar yang diwajibkan mempelajari teks Komsas belum sepenuhnya didedahkan kepada hakikat ini.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×