Menunggu siapa selepas Jins - Utusan Malaysia

Menunggu siapa selepas Jins

ANWAR RIDWAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JATI diri sesuatu negara dan bangsa turut dicirikan oleh kesenian yang menjadi sebahagian kebudayaannya. Banyak negara terutama negara maju, sangat menghormati dan menyantuni tokoh-tokoh kesenian mereka. Di balik gah pembangunan fizikal dan prasarana, mereka percaya ada magis seni yang menghuni jiwa seluruh warganya.

Selama ribuan tahun, seni telah mempengaruhi perubahan-perubahan pendapat dalam kalangan warga sesebuah negara. Seni juga telah mencambahkan dan menyuburkan nilai murni dalam jiwa masyarakat.

Karyawan seni dengan kreativiti mereka telah menterjemahkan pengalaman masing-masing menyeberangi tembok ruang dan masa.

Di kebanyakan negara, penghargaan kepada karyawan seni dilakukan dengan cara penamaan jalan, nama muzium, nama taman, mendirikan tugu peringatan, diberi pada nama dewan dan sebagainya.

Di Jepun, wang kertas 5,000 Yen dihiasi potret Ichiyo Higuchi, iaitu seorang penulis dan penyair era Meiji (1868-1912).

Hasil seni menawarkan pengetahuan, pengajaran, keindahan dan etika. Justeru hasil-hasil seni membekas pada dasar deria dan pancaindera seseorang. Segalanya tersimpan dalam lubuk ingatan individu serta ingatan kolektif masyarakat. Begitu besarnya pengaruh seni dalam kehidupan, mewajarkan tokoh-tokohnya dihargai dan disantuni dari masa ke masa.

Saya kira inilah dasar yang memutikkan pelaksanaan Anugerah Seni Negara yang dimulakan pada 1993 oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada masa itu.

Sejak 1993, sebanyak lapan seniman telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Seni Negara yang membawa gelaran Seniman Negara. Mendahului anugerah ini ialah tokoh wayang kulit tersohor lagi bitara, iaitu Hamzah Awang Amat atau Pak Hamzah.

Dua tahun kemudian (1995) pelukis terkenal, Syed Ahmad Jamal menerima anugerah tersebut. Beliau terdidik di Birmigham School of Architecture sebelum beralih ke bidang yang lebih diminatinya itu di Chelsea School of Art, London. Beliau salah seorang ikon seni lukis kita.

UKIRAN KAYU

Wan Su Othman dari Besut, Terengganu menerima anugerah ini pada 1997. Beliau merupakan penggiat seni ukiran kayu tersohor. Banyak karya seni ukirannya diabadikan di beberapa tempat termasuk di pintu utama Muzium Negara, Istana Diraja Pekan dan lambang Universiti Teknologi Malaysia.

Tokoh mak yong yang tidak asing lagi, Khatijah Awang menerima anugerah ini pada 1999. Beliau bukan sahaja seorang primadona teater tradisional Melayu ini, malah menjadi rujukan para penggiat mak yong di samping seorang yang berjaya dalam bidang keusahawanan seni.

Anugerah seterusnya diberikan kepada Syed Alwi Syed Hassan pada 2002. Beliau terkenal dengan drama-dramanya yang menggegar seperti Alang Rentak Seribu dan Tok Perak. Pengkaji drama seperti Mana Sikana meletakkannya sebagai salah seorang tokoh drama penting tanah air abad ke-20.

Tokoh bangsawan, Abdul Rahman Abu Bakar atau Pak Rahman menerima anugerah ini pada 2004 sebagai penerima keenam. Membesar dan dimatangkan di pentas bangsawan, berpengalaman sebagai pelakon dan pengarah, beliau merupakan satu-satunya tokoh paling berwibawa yang boleh memberi pendapat tentang teknik, adab serta falsafah seni persembahan bangsawan.

PEMUZIK

Penggubah lagu, pemuzik dan penyanyi, Ahmad Nawab menerima anugerah ini pada 2006. Sepanjang hayatnya, beliau telah menghasilkan lebih 2.000 lagu. Banyak penyanyi tanah air menjadi terkenal kerana sentuhan lagu-lagu ciptaannya yang bermutu tinggi.

Penerima kelapan dan terakhir (setakat ini) ialah pelakon dan pengarah filem Jins Shamsuddin yang dinobatkan pada 2009. Filemnya, Bukit Kepong akan diingat sebagai sebuah karya patriotik daripada karyawan yang berpengalaman sejak zaman kegemilangan filem Melayu yang bertapak di Singapura dahulu.

Sudah 11 tahun berlalu sejak Jins Shamsuddin menerima anugerah ini, masih belum terdengar rancangan yang telah diuar-uarkan paling tinggi dalam bidang seni negara ini akan disambung semula.

Baik di Tanah Melayu, Sabah mahupun Sarawak, kita mempunyai sejumlah karyawan seni yang masih aktif. Sesetengah daripada mereka telah sangat berusia, matang dengan pengalaman serta genre seni yang mereka gulati selama ini. Sangatlah wajar memberi penghargaan serta penghormatan kepada mereka yang mendedikasikan hidup dalam bidang seni, warisan dan budaya.

Kita berharap kerajaan meneruskan semula Anugerah Seni Negara ini. Di samping menghormati dan menyantuni tokoh karyawan seni, melalui anugerah ini diharapkan akan tersebar aura keindahan seni dalam kehidupan kita semua. Aura untuk kita bukan sahaja memahami sesuatu bentuk seni malah ekspresi, representasi dan interpretasinya.

Seimbangkan seni dalam kehidupan dengan pesona material yang memukau pandangan zahir kita.

DATUK Dr. Anwar Ridhwan ialah Sasterawan Negara, kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Akademi Seni Budaya dan Warisan. Kebangsaan (Aswara).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×