ALOR SETAR: Kerajaan akan menentukan tindakan yang wajar terhadap warga Myanmar yang membina penempatan haram di Bukit Malut, Langkawi selepas mendapat maklumat lengkap.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini beliau belum mendapat maklumat lengkap mengenai perkara tersebut dan hanya akan membuat keputusan tentangnya selepas maklumat daripada hasil siasatan diperoleh.
Selain itu, katanya, beliau juga akan mengadakan lawatan ke perkampungan tersebut untuk mendapat gambaran sebenar kawasan berkenaan dalam tempoh terdekat.
Katanya, lawatan tersebut nanti akan turut disertai bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.
“Kita dengar perkampungan tersebut didiami ramai warganegara Myanmar termasuk etnik Rohingya.
“Bagaimanapun, saya akan pergi sendiri (Bukit Malut) bagi mendapatkan maklumat lebih lengkap sebelum mengemukakan cadangan (penyelesaian penempatan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Md. Salleh Ahamad, 70, di Jalan Masjid Seberang Pantai Johor, di sini, semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, setakat ini belum ada tindakan diambil terhadap penempatan haram warga Myanmar yang semakin bertambah di Bukit Malut, Langkawi.
Lebih 10,000 warganegara Myanmar yang mendiami kawasan Bukit Malut berterusan menceroboh tanah kerajaan negeri sehingga mencemar imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.
Dianggarkan kira-kira 2,500 buah rumah didirikan secara haram di penempatan yang sinonim dengan gelaran Little Myanmar itu, yang turut mengancam ekologi alam sekitar khususnya kawasan paya bakau di pesisir pantai pulau legenda tersebut. – UTUSAN











