PETALING JAYA: Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$112.30 bilion pada akhir November, berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Dalam kenyataan Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada Akhir November 2023 hari ini, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, rizab mata wang asing berjumlah AS$3.9 juta.
Bank pusat berkata, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi Kerajaan Persekutuan dan Bank Negara Malaysia untuk tempoh 12 bulan akan datang.
“Bagi aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah AS$18.01 bilion bagi 12 bulan akan datang.
“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM,” katanya.
Tambah BNM, kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak AS$23.99 bilion pada akhir bulan November 2023 mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.
“Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah AS$2.40 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, BNM berkata, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri dalam mata wang asing dalam tempoh satu tahun berjumlah AS$369.4 juta.
Jelasnya, tiada pinjaman mata wang asing dengan opsyen dan juga tidak terdapat kemudahan kredit yang belum digunakan yang diberikan oleh bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.
“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” katanya.-UTUSAN










