Kerajaan perlu bina keyakinan pelabur – Sementa

Kerajaan perlu bina keyakinan pelabur – Sementa

WILLIAM NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu membina keyakinan pelabur untuk menanam modal dalam ekonomi negara menjelang 2024, kata Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (Samenta).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, kemasukan pelabur ke dalam ekonomi negara akan menyebabkan lonjakan ringgit dan bursa menjadi lebih kukuh.

“Kalau lihat dari segi asas atau ‘fundamental’, ekonomi kita masih berkembang dan banyak peluang pekerjaan walaupun lebih perlahan dari jangkaan.

“Malaysia ma­sih menjadi destinasi yang cukup menarik untuk pelabur asing,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas beliau, ini didorong oleh infrastruktur Malaysia antara yang terbaik di rantau Asia Tenggara dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara terbesar di ASEAN serta kos sara hidup antara yang terendah, meskipun dibelenggu isu-isu global.

“Sekiranya kerajaan terus melibatkan sektor swasta di dalam transformasi ekonomi, mempercepatkan reformasi buruh dan memastikan kenaikan kos pengeluaran terurus, tidak sukar untuk menarik kembali keyakinan pelabur,” ujarnya.

Dalam pada itu, William berkata, kerajaan perlu memastikan isu tenaga kerja terlatih diselesaikan yang melibatkan kenaikan gaji dan membantu PKS menaiki tangga nilai ketika fokus berada pada industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

“Industri HGHV ini tidak akan pergi jauh sekiranya PKS kita belum tersedia untuk menjadi industri sokongan dan sebahagian daripada ekosistem kepada industri HGHV ini.

Jelas beliau, transformasi ini memerlukan ramai tenaga kerja terlatih dan disebabkan itu kerajaan perlu melatih lebih ramai pekerja berkemahiran melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta fokus kepada latihan teknikal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×