PETALING JAYA: Ringgit diunjur terus mengukuh kepada RM4.40 hingga RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku pertama (S1) 2024, didorong oleh jangkaan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Profesor Ekonomi Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, penurunan kadar faedah yang dijangka pada 2024 tersebut juga memberi kesan positif kepada mata wang asing yang lain.
Katanya, ketidaktentuan akan terus berlaku dalam pasaran, namun kesannya adalah lebih sederhana, ditambah pula dengan pemulihan ekonomi China yang akan membantu mengukuhkan ringgit.
“Faktor domestik pula dipacu oleh peningkatan dan pengukuhan eskport negara serta aliran masuk dana ke negara ini.
“Perkara-perkara ini akan meningkatkan tarikan pelaburan kepada pasaran Malaysia seterusnya membantu dalam pengukuhan mata wang.
“Peningkatan akan berlaku secara perlahan tetapi akan ada kenaikan. Ringgit dijangka akan berada sekitar RM4.30 hingga RM4.40 menjelang akhir 2024,” katanya, semalam.
Mengulas mengenai Kadar Dasar Semalam (OPR), Kim Leng berkata, OPR mungkin dikekalkan melainkan berlaku pertumbuhan ekonomi yang signifikan.
“Sama ada berlaku penurunan adalah bergantung kepada keadaan ekonomi domestik. Pada tahap sekarang, ia menyokong kepada pertumbuhan dan mengekang inflasi.
“Kita akan melihat perkembangan tersebut dengan pengenalan subsidi minyak bersasar yang dijangka diperkenalkan pada tahun depan,” ujarnya.
Beliau menambah, inflasi pada tahun depan juga dijangka berada sekitar dua hingga tiga peratus. – UTUSAN










