Selesai pindaan kewarganegaraan Perlembagaan Persekutuan

Selesai pindaan kewarganegaraan Perlembagaan Persekutuan tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Peguam mahu kerajaan menumpukan pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberi kewarganegaraan secara automatik bagi anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara, sebagai antara reformasi undang-undang terbesar tahun depan.

Pindaan itu seperti diperuntukkan dalam Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan,

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn berkata, pihaknya hanya mahu kerajaan mengganti perkataan ‘bapa’ kepada perkataan ‘ibu bapa’ dahulu bagi membolehkan anak dilahirkan itu mendapat kerakyatan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, dalam usaha meminda peruntukan itu, kerajaan dilihat seolah-olah melambatkan prosesnya menyaksikan beberapa perkara lain melibatkan kewarganegaraan yang tidak sepatutnya dibuat ketika ini namun diteruskan.

“Kami hanya mahu pindaan pada perkataan ini diluluskan terlebih dahulu pada mesyuarat Dewan Rakyat pada Oktober lalu. Namun sehingga penggal kali ini tamat tiada sebarang perkembangan mengenainya.

“Masalahnya apabila kerajaan memasukkan pelbagai jenis pindaan kewarganegaraan sehingga merumitkan isu paling utama. Oleh itu, kami tidak akan berhenti menyuarakan perkara ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Karen berkata, pada awal tahun ini, Majlis Peguam telah menyerahkan lebih 60 kertas cadangan reformasi undang-undang kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).

Bagaimanapun, katanya, hanya dua undang-undang dalam tuntutannya berjaya direalisasi tahun ini iaitu nyah jenayah bunuh diri dengan meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah serta pemansuhan hukuman mati mandatori.

“Perjalanan ke arah reformasi undang-undang masih jauh dan saya berharap tahun depan menjadi ‘permulaan semula’ untuk reformasi undang-undang yang kami harapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, beberapa lagi undang-undang mesti dilaksana tahun depan ialah pengasingan kuasa Peguam Negara dengan pendakwa raya agensi penguatkuasa dan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pendanaan politik.

Selain itu, katanya, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 harus dipinda bagi memperkukuh institusi kehakiman dan pelantikan hakim serta ahli-ahli suruhanjaya.

Beliau juga menggesa kerajaan mempertimbang Akta Akses Kepada Keadilan untuk mengganti Akta Pembelaan Awam cadangan BHEUU dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melibatkan semua agama.

“Kerajaan harus mengganti akta IPCC (Akta undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis) (yang berkuatkuasa) dengan IPCMC (Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang mana polis diawasi badan bebas bagi menentang salah laku,” katanya.

Pada 1 November lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam penggulungan di Dewan Rakyat memberitahu, akan membentang pindaan Perlembagaan berkenaan kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita warga Malaysia dengan lelaki warga asing.

Katanya, Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menyediakan draf pindaan itu bagi membolehkan anak itu mendapat kerakyatan selain beberapa cadangan pindaan lain dimasukkan. Pun begitu, beliau tidak memberi garis masa khusus pembentangannya.

Pada Februari lalu, kerajaan bersetuju memberi kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Sejumlah lapan cadangan pindaan pada keseluruhan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung kewarganegaraan dipersembah ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) sebelum ini.

Pada 4 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang giat mengatur pelbagai langkah ke arah reformasi perundangan lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×