Terma perdagangan Malaysia menokok 2.9 peratus

Terma perdagangan Malaysia pada November menokok 2.9 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga eksport Malaysia pada November 2023 meningkat 2.0 peratus daripada 146.4 mata pada bulan sebelumnya kepada 149.3 mata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, harga import bagaimanapun menurun 0.8 peratus daripada 131.3 mata kepada 130.2 mata, manakala terma perdagangan Malaysia bertambah 2.9 peratus bulan ke bulan kepada 114.7 mata.

Beliau berkata, indeks nilai seunit eksport menokok 2.0 peratus pada November 2023 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+11.0 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (+1.1 peratus) dan makanan (+0.5 peratus).

Pada masa yang sama, katanya, indeks volum eksport jatuh 5.1 peratus selaras dengan kejatuhan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-7.4 peratus), minyak galian (-5.1 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (-5.0 peratus).

“Indeks volum eksport pelarasan bermusim naik secara marginal 0.05 peratus, kekal pada 155.8 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit naik 0.4 peratus manakala indeks volum jatuh 6.2 peratus,” katanya dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri (2010=100), November 2023.

Menurut DOSM, penerbitan itu, memaparkan statistik indeks nilai seunit, indeks volum dan terma perdagangan meliputi 10 seksyen komoditi produk barangan selaras dengan Klasifikasi Standard Perdagangan Antarabangsa (SITC).

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, indeks nilai seunit import menurun 0.8 peratus pada November 2023, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-2.9 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.9 peratus) dan bahan kimia (-0.2 peratus).

Tambahnya, indeks volum import turut jatuh 2.3 peratus pada November 2023 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan dalam indeks minyak galian (-15.2 peratus), bahan mentah tidak boleh dimakan (-7.2 peratus) dan makanan (-3.2 peratus).

“Indeks volum import pelarasan bermusim merosot 3.8 peratus daripada 197.0 mata kepada 189.4 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import berkurang 2.2 peratus manakala indeks volum naik 4.2 peratus,” jelas beliau.

Mohd. Uzir menambah, terma perdagangan Malaysia menokok 2.9 peratus bulan ke bulan kepada 114.7 mata pada November 2023, didorong oleh peningkatan indeks minyak galian (+14.3 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (+1.7 peratus), dan bahan mentah tidak boleh dimakan (+1.2 peratus).

“Begitu juga, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun berkembang 2.7 peratus daripada 111.6 mata pada November tahun lalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×