COPENHAGEN: Pihak berkuasa kesihatan Denmark, Norway, Iceland, Thailand dan Bulgaria menggantung sementara penggunaan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca susulan laporan pembentukan darah beku terhadap beberapa individu selepas disuntik vaksin.
Denmark melaksanakan langkah tersebut selama dua minggu selepas seorang wanita berusia 60 tahun yang menerima suntikan vaksin AstraZeneca mempunyai komplikasi darah beku dan meninggal dunia.
Menteri Kesihatan Denmark, Magnus Heunicke berkata, pihaknya masih belum dapat mengaitkan kematian wanita itu adalah disebabkan vaksin AstraZeneca dan siasatan lanjut perlu dilakukan segera.
Di Austria, seorang jururawat berusia 49 tahun meninggal dunia akibat masalah darah beku yang serius, beberapa hari selepas dia menerima suntikan vaksin AstraZeneca.
Pengarah Kawalan dan Pencegahan Jangkitan Norway di Institut Kesihatan Umum (FHI), Geir Bukholm pula menyifatkan keputusan penangguhan penggunaan vaksin tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.
Namun, FHI tidak memaklumkan berapa lama penggantungan itu akan dilaksanakan.
Dalam pada itu, Thailand turut mengambil langkah sama biarpun negara itu dijangka mula menggunakan vaksin tersebut semalam untuk program vaksinasi Covid-19.
Penasihat jawatan kuasa vaksin Covid-19 Thailand, Piyasakol Sakolsatayadorn berkata, semua vaksin yang digunakan perlulah selamat dan negara tersebut tidak mempunyai keperluan segera untuk menggunakannya. – REUTERS










