Perdana Menteri tinjau banjir Kelantan hari ini

Perdana Menteri tinjau banjir Kelantan hari ini

TIGA lelaki menggunakan perahu untuk mengangkat barang-barang keperluan setelah kawasan mereka dinaiki air di Rantau Panjang.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘turun padang’ ke Kelantan hari ini bagi meninjau sendiri situasi banjir yang disifatkannya semakin membimbangkan di kawasan Pantai Timur Semenanjung.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook miliknya yang sebelum itu bertemu Perdana Menteri Thailand, Srettha
Thavisin untuk membincangkan isu hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, antara isu yang sempat dibangkitkan adalah berkenaan keadaan banjir di kawasan Pantai Timur.

“Kami juga sempat bicara terkait situasi banjir yang berlaku ketika ini dan Insya-Allah, esok (hari ini) saya akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan di sana. Semoga Allah segera mengangkat bencana ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idris berkata, dua buah helikopter ditambah untuk membantu operasi menyelamat mangsa banjir di Pantai Timur berikutan situasinya yang semakin buruk.

“Kita juga mempunyai seramai 61,839 keseluruhan anggota penyelamat yang diarah ke mana-mana kawasan banjir.

“Sebanyak 5,142 aset jentera untuk kegunaan darat, air dan udara dari pelbagai agensi bersedia untuk digerakkan ke kawasan banjir,” katanya.

Menurut Khairul Shahril, NADMA sentiasa melakukan penyelarasan bagi memastikan keperluan di peringkat negeri pengurusan banjir kali ini mencukupi sekali gus dapat diselesaikan dengan segera.

“Kita sentiasa berhubung dengan jawatankuasa pengurusan bencana negeri bagi memastikan segala keperluan bantuan dapat dibuat secepat
mungkin.

“Arahan diberi kepada agensi-agensi menambah kekuatan kelengkapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×