PETALING JAYA: MR D.I.Y Group merangkul anugerah Frost & Sullivan keempatnya, setelah menerima anugerah Amalan Terbaik 2023 Syarikat Industri Peruncitan Pembaikan Rumah Malaysia Terbaik untuk edisi tahun ini.
Ini adalah tahun ketiga berturut-turut MR D.I.Y. membawa pulang penghormatan syarikat terbaik, selain diberi pengiktirafan Anugerah Kepimpinan Pasaran pada 2020.
Ketua Pemasaran Kumpulan, Alex Goh berkata, pencapaian ini mengukuhkan pendekatan strategik syarikat, berpaksikan pada premis dengan menawarkan pelanggan pelbagai keperluan harian pada harga yang sentiasa rendah di lokasi yang sesuai di seluruh negara.
Katanya, disokong oleh tumpuan yang mendalam pada kecekapan operasi, perkara tersebut adalah strategi yang dicuba dan diuji yang terus membantu Kumpulan membina perniagaan yang kukuh dan mampan.
“Pengiktirafan ini tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen lebih 16,500 tenaga kerja kami di seluruh negara dan pengeluar serta rakan kongsi logistik kami di seluruh dunia, apatah lagi pelanggan yang mengunjungi kedai kami setiap tahun.
“Kami mendedikasikan anugerah ini kepada mereka semua dan kekal teguh dalam komitmen untuk mencipta pengalaman peruncitan yang inovatif yang memberi kesan positif kepada semua pemegang kepentingan di seluruh ekosistem kami,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, Pengarah Frost & Sullivan, Narciso Podda berkata, dengan strategi pengembangan kedai yang agresif dan jangkauan geografi yang luas, MR D.I.Y. menyediakan isi rumah Malaysia dengan pelbagai jenis produk pembaikan rumah pada harga yang berpatutan.-UTUSAN










