Terbayang anak kelihatan cantik sebelum maut kemalangan

Terbayang anak kelihatan cantik sebelum maut kemalangan

GAMBAR kenangan Mohamad Jusoh dan isterinya, Norizan Saad bersama anak mereka, Allahyarham Munirah (kiri) yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Bertam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Seorang ibu beberapa kali melihat bayangan anak perempuannya yang kelihatan cantik sebelum dia maut dalam kemalangan di Kilometer 118.5 Lebuhraya Utara-Selatan di Bertam, Pulau Pinang, kelmarin.

Menurut Mohamad Jusoh, 65, isterinya, Norizan Saad, 63, sering ternampak bayangan anak keenam daripada tujuh beradik, Allahyarham Munirah Mohamad, 24, itu sebelum ini.

“Isteri saya nampak anak lebih cantik berbanding hari-hari biasa, namun tidak mengesyaki apa-apa. Rupa-rupanya ia petanda Munirah akan pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jeneri, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 9.40 malam itu, sebuah lori dari arah Juru ke Sungai Petani yang mengalami kerosakan berhenti di lorong kecemasan dan kira-kira 15 minit kemudian mangsa yang menunggang dari arah sama merempuh sebelah kanan lori berkenaan.

Mohamad berkata, kemalangan berlaku ketika Munirah dalam perjalanan ke rumah rakan baiknya di Bukit Raya, dekat sini untuk meraikan majlis perkahwinan sahabatnya itu.

Katanya, Munirah tinggal di rumah sewa di Pulau Pinang kerana berulang-alik dengan motosikal ke tempat kerjanya di Butterworth setelah tamat pengajian di Universiti Perguruan Sultan Idris sejak setahun lalu dan dia tidak pernah menunggang motosikal jika mahu pulang ke kampung.

“Sebelum bergerak petang semalam, arwah hanya menghubungi adik bongsunya tetapi saya tidak tahu apa yang dibualkan mereka. Kali terakhir kami jumpa pada 10 Disember lalu, dia balik kampung meraikan hari kelahiran saya dan menghadiahkan dompet yang agak mahal,” katanya.

Tambahnya, arwah seorang anak yang baik dan dia akan memeluk serta menciumnya seperti biasa apabila berjumpa.

“Munirah telah bertunang dengan lelaki dari Yan sebelum Ogos lalu dan dijangka melangsungkan perkahwinannya pada Hari Raya Aidiladha tahun hadapan tetapi apakan daya jodohnya tiada,” katanya

Jenazah Allahyarham Munirah dikebumikan selepas solat asar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jeneri, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×