PETALING JAYA: Pengamal undang-undang mahu kerajaan memulakan reformasi sistem perundangan negara mulai tahun depan terutama pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya agensi penguat kuasa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pengasingan kuasa itu sudah lama dituntut dan kerajaan perlu konsisten melakukan reformasi supaya tidak wujud unsur yang boleh menimbulkan persepsi masyarakat khususnya bagi kes berprofil tinggi.
Selain itu, beliau juga berharap supaya badan siasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen bagi menjamin kebebasan entiti itu.
“Sebenarnya, masih banyak perkara penting kena dibuat seperti pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Perlu tubuhkan jawatan kuasa khas untuk meneliti, mengkaji dan buat perubahan yang perlu.
“Jika undang-undang ini dilaksana, maka akan ada satu keadaan yang mana penguat kuasa undang-undang jadi lebih bebas dan berintegriti di mata rakyat. Saya juga harap masyarakat lebih matang mentafsir suatu perkara berdasarkan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.
“Kalau pun tahun depan keadaan dijangka lebih mencabar, cabaran itu sentiasa ada. Tetapi, saya berharap reformasi dilaungkan selama ini bukannya indah khabar daripada rupa. Tetapi, benar-benar berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mohamed Haniff berkata, sekalipun reformasi tidak berlaku, kerajaan harus kembali kepada perkara asas iaitu menerima aduan rakyat seperti kes mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dakwaan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
“Apa yang berlaku dari sudut undang-undang ada unsur-unsur yang menimbulkan persepsi lanjut. Kes ini menjadi satu titik hitam berkaitan kedaulatan undang-undang walhal kerajaan sebelum ini yang melaungkan reformasi.
“Kita tidak mahu rakyat melihat tadbir urus negara berkaitan penguatkuasaan undang-undang boleh dipersoal melalui campur tangan salah oleh eksekutif. Tetapi, saya tidak bermaksud keadaan ini berlaku, tetapi seolah-olah ada. Maka, kerajaan harus elakkannya,” katanya.
Pada 4 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang giat mengatur dan mengorak pelbagai langkah ke arah reformasi perundangan lain yang akan dilaksana secara berfasa.
Bagaimanapun, katanya, antara reformasi institusi dilakukan ialah meminda Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676), pemansuhan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), pewujudan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) selain memansuhkan seksyen 309 Kanun Keseksaan yang menjenayahkan cubaan membunuh diri melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No. 2 ) 2023.
Pun begitu, masih banyak reformasi undang-undang menjadi tuntutan awam antaranya Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia; RUU berkaitan pendanaan politik; RUU Perkhidmatan Parlimen; pengasingan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.
Pada pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Putrajaya, 9 Januari lalu, Majlis Peguam menggariskan 65 reformasi undang-undang antaranya mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Majlis Peguam turut menyuarakan gesaan dalam menggubal akta berkaitaan pendanaan politik kerana ketiadaan undang-undang yang mengawal selia wang diguna untuk kempen dan calon pilihan raya berpotensi membawa kepada korupsi dalam peringkat lebih tinggi. – UTUSAN










