10 keluarga resah air bertakung lebih sebulan

10 keluarga resah air bertakung lebih sebulan

PENDUDUK terpaksa meredah air bertakung sejak sebulan lalu di Kampung Bunut Sarang Burung, Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Lebih 10 keluarga dari Kampung Bunut Sarang di sini resah memikirkan nasib mereka apabila terpaksa menghidu bau busuk berpunca daripada masalah air bertakung lebih sebulan lalu.

Dakwa mereka masalah tersebut berpunca daripada sistem perparitan yang menyebabkan urusan harian penduduk terjejas selain berdepan kerugian akibat air bertakung.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Manirah Hassan, 56, berkata, hampir sebulan bahagian dapur rumahnya digenangi air sedalam 0.2 meter.

Menurutnya, pada masa sama suami terpaksa membuat rakit untuk berulang alik bertugas sebagai guru selepas jalan masuk ke kawasan rumahnya ditenggelami air sedalam 0.3 meter.

“Disebabkan itu juga, kenderaan milik keluarga juga terpaksa diparkir di kawasan rumah jiran bagi mengelakkan ia dimasuki air.

“Kesan air bertakung itu menyebabkan saya kerugian RM5,000 selepas beberapa peralatan di dalam rumah rosak,” katanya ketika ditemui di kampung itu semalam.

Seorang lagi penduduk, Abdullah Ibrahim, 61, memberitahu, dia berdepan kesukaran untuk keluar masuk selepas rumah dan kawasan pekarangan ditenggelami air bertakung itu.

Katanya, dia berharap pihak berkenaan dapat membantu mengatasi masalah ini yang berlarutan lebih sebulan.

“Biasanya air akan bertakung antara dua atau tiga hari dan kemudian surut. Namun tidak kali ini.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan penduduk tidak lena tidur memikirkan masalah tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd. Rusli Abdulah ketika dihubungi berkata, beliau bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah turun ke lapangan untuk melihat situasi sebenar.

“Insya-Allah…saya masukan masalah ini dalam bajet tahun hadapan untuk diselesaikan. Saya turut bersimpati dengan penduduk yang terkesan dengan masalah ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×