Azman Mokhtar CEO KWSP baharu?

Azman Mokhtar CEO KWSP baharu?

AZMAN MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Mungkinkah bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar bakal mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)?

Jawatan CEO tersebut masih kosong selepas Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet 11 Disember lalu.

Semalam, Azman pula menamatkan tempohnya sebagai Pengerusi di TH dan diganti oleh Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Pengerusi baharu, berkuat kuasa pada 20 Disember 2023.

Sejak dilantik sebagai Pengerusi pada 20 Disember 2021, Azman berjaya memastikan kedudukan kewangan TH lebih kukuh dengan mencatat jumlah deposit sehingga 30 November 2023 sebanyak RM 88.9 billion, peningkatan hampir tujuh peratus berbanding RM83.3 billion pada 1 Januari 2022.

Sebelum itu, Azman juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pengarah  Khazanah Nasional Berhad dari 2004 hingga 2018.

Dalam tempoh 14 tahun sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah, institusi itu muncul sebagai dana kekayaan berdaulat terkemuka di rantau ini apabila nilai portfolio bersihnya meningkat 3.5 kali daripada RM33.3 bilion pada 2004 kepada RM115.6 bilion pada akhir 2017.

Jumlah tersebut adalah peningkatan sebanyak RM82.3 bilion atau kadar kompaun 9.6 peratus setahun sepanjang tempoh itu.

Beliau juga merupakan Pengerusi Pengasas Axiata Berhad (2008 – 2018) dan Iskandar Investment Berhad (2007 – 2018).

Azman memiliki Sarjana Falsafah dalam Pengajian Pembangunan, Kolej Darwin, Universiti Cambridge dan seorang pemegang Charter Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA), Amerika Syarikat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, beliau tidak terkejut jika Azman dilantik sebagai CEO KWSP berdasarkan pengalaman luasnya dalam mengendalikan korporat besar di Malaysia.

“Paling ketara adalah ketika beliau menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah selama 14 tahun yang menyaksikan peningkatan nilai portfolio bersih naik 3.5 kali iaitu daripada RM33.3 billion kepada RM115.6 billion.

“Selain itu, beliau juga memegang jawatan penting seperti Pengerusi Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta lain-lain agensi kerajaan,” katanya.

Selain Azman, antara nama lain yang disebut bagi mengisi jawatan itu adalah Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman serta bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohd. Nasir Ab. Latif.

KWSP dalam satu kenyataan pada 12 Disember lalu memberitahu, CEO baharu akan diumumkan dalam masa terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×