Pengusaha bas sekolah rayu bantuan

Pengusaha bas sekolah rayu bantuan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPPBSM) terkilan apabila tiada bantuan khusus kepada pengusaha bas sekolah dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani, 12 Oktober lalu.

Presidennya, Mohd. Rofik Mohd. Yusoff berkata, ketika ini, lebih 7,000 pengusaha bas sekolah turut terkesan dengan keadaan ekonomi yang mencabar termasuk kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

“Pendapatan pengusaha bas sekolah bergantung kepada operasi sekolah sahaja, jadi pendapatan kita untuk November dan Disember adalah kosong.

“Ini tidak termasuk lagi isu ibu bapa yang lambat membuat bayaran, lebih teruk ada yang tak bayar terus dan guna perkhidmatan bas sekolah lain. Oleh itu, kita harap adalah pemberian insentif secara one-off kepada pengusaha bas sekolah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung GPPBSM dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bas Sekolah Johor Bahru di Dewan Bangunan Perkeso, di sini, semalam.

Mohd. Rofik berkata, antara isu lain yang dibangkitkan pada mesyuarat agung itu ialah memohon Kerajaan Madani memberi bantuan subsidi minyak petrol kepada pengusaha van sekolah.

Katanya, kebanyakan pengusaha menggunakan van sekolah berbanding bas dan mereka tidak memperoleh manfaat bantuan pihak kerajaan itu.

“Subsidi minyak diesel memang kerajaan beri, tapi yang ahli gabungan suarakan ialah subsidi petrol. Ini kerana kebanyakan pengusaha menggunakan van sekolah tak menerima manfaat subsidi ini,” katanya.

Selain itu, katanya, GPPBSM memohon pemeriksaan secara berkala Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) yang diwajibkan kepada pengusaha bas sekolah dibuat setahun sekali dan bukannya enam bulan sekali seperti bas ekspres.

“Ini kerana radius perjalanan bas sekolah tidak jauh, paling tidak 10 kilometer sahaja berbanding bas ekspres yang mengambil perjalanan jauh. Kita harap pemeriksaan berkala dibuat setahun sekali seperti yang diwajibkan kepada kenderaan teksi dan e-hailing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×