MRT3: Pengambilan tanah secara berperingkat mulai tahun depan

MRT3: Pengambilan tanah secara berperingkat mulai tahun depan

ANTHONY Loke dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain dan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zarif Hashim di Putrajaya, hari ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: MRT Corp akan memulakan proses pengambilan tanah secara berperingkat mulai 2024 bagi projek Transit Aliran Massa Laluan Lingkaran (MRT3) yang akan mengambil masa selama dua tahun untuk dimuktamadkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagi meminimumkan kos pengambilan tanah kepada kerajaan, MRT Corp akan bekerjasama secara aktif dengan pemaju hartanah.

“Di sini saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan bagi memulakan proses pengambilan tanah jajaran bagi projek MRT3.

“Pendekatan kami terhadap proses pengambilan tanah akan menggabungkan langkah-langkah yang berhemah dan penuh ihsan untuk memastikan kesan sosial yang minimum kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan di antara MRT Corp dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses pengambilalihan itu dijangka melibatkan sebanyak 1,012 lot tanah meliputi 842 lot tanah persendirian, 133 lot tanah kerajaan dan 37 lot tanah tidak diketahui.

“Seperti yang kita katakan, kita ada mekanisme untuk minimumkan kos kepada kerajaan, kita juga terbuka untuk berbincang dengan pemilik tanah. Ada pemilik tanah yang ‘approch’, kalau kerajaan tak ambil alih tanah, boleh ke kita ada usahasama?

“Itu (antara) mekanisme yang kita sedang lihat untuk lebih kreatif supaya kos kepada kerajaan dapat dikurangkan dan pada masa sama nilai komersial sesuatu tanah itu dapat dimaksimumkan. Mungkin kita boleh ada situasi menang menang dengan pemilik tanah,” ujarnya.

Ditanya berhubung kos keseluruhan membabitkan projek mega berkenaan, Anthony bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut memandangkan ia masih belum dimuktamadkan.

“Belum lagi, akan dimuktamadkan dan MOF (Kementerian Kewangan) belum buat keputusan, masih melihat kepada jumlah kos,” katanya.

Berhubung perjanjian pajakan yang dimeterai hari ini, Anthony berkata, pelaksanaan pajakan itu selaras dengan keperluan Perjanjian Pengurusan Pembangunan Projek (PDMA) yang membolehkan MRT Corp melaksanakan pembangunan sampingan yang memberi pulangan komersial.

Katanya, selain itu, ia membolehkan penyediaan fasiliti awam di kawasan stesen-stesen MRT yang dapat dimanfaatkan oleh rakyat misalnya taman rekreasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×