PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, dakwaan menunggang nama Melayu untuk merembat dana yang diperuntukkan bagi memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera itu adalah satu fitnah.
Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, tuduhan yang dilemparkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli itu satu tuduhan serius dan didakwa mendahului hakim serta mahkamah.
“Tuduhan demi tuduhan dilemparkan lagi Rafizi yang secara terus mengaitkan nama Melayu atas duit Jana Wibawa.
“Kita nak tanyalah, sudah adakah kes Jana Wibawa diputuskan oleh mahkamah, siapa yang tersabit dengan kesalahan itu?
“Rafizi ini telah mendahului hakim, telah mendahului mahkamah. Apa bukti yang dia ada?
“Lebih kemaruk lagi, Rafizi menggunakan platform atas nama kerajaan yang tidak akan menunggang orang Melayu hanya untuk memperkayakan segelintir pihak,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, media melaporkan, Kerajaan Perpaduan tidak akan mempergunakan nama Melayu untuk merembat duit seperti yang berlaku dalam projek Jana Wibawa.
Ramfi Ramli dalam satu hantaran di media sosial berkata demikian bagi membidas ahli Parlimen Pembangkang yang seolah-olah menggambarkan diri membela Melayu sekiranya bercakap mengenai agenda ekonomi bumiputera.
Mengulas lanjut, Razali meminta Rafizi untuk tidak menjadi Menteri Politik dan Propaganda, sebaliknya menjadi seorang Menteri Ekonomi bersifat negarawan.
“Sudah setahun memerintah, fesyen atau style lama juga dikekalkan, tak ke mana lagi ekonomi negara untuk tahun kedua di bawah kerajaan Perpaduan ala Madani ini.
“Sepatutnya PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyedari dan menukar Rafizi ini yang masih terkial~kial sampaikan sanggup buat program podcast ‘Yang Bakar Menteri’, memang inilah standard Rafizi selama ini, berbalah dengan rakyat.
“Rugi kerajaan PMX bagi tahun kedua memerintah,” katanya. – UTUSAN











