Mengapa tidak bincang dalam mesyuarat PH-PKR?

Pilihan raya PBT: Mengapa tidak bincang dalam mesyuarat PH-PKR?

LEE CHEAN CHUNG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP diminta tidak sekadar melontarkan idea berhubung cadangan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di ibu negara, sebaliknya perlu mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Komunikasi Pusat PKR, Lee Chean Chung berkata, cadangan itu satu idea menarik namun apa yang lebih penting adalah libat urus de­ngan pihak berkepentingan.

“Maksudnya, mengapa tidak bawa bincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan (PH), kemudian adakan libat urus untuk yakinkan mereka yang tidak percaya atau yang cuba menghantui orang lain, semua ini perlu ditangani.

“Bukan sekadar lontar idea, tetapi wujudkan libat urus dengan pihak berkepentingan kerana konsep yang baik kalau dimomokkan atau orang lain tidak terima, maka jadi usaha yang sia-sia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Chean Chung berkata, libat urus berkepentingan itu perlu dibuat oleh individu yang me­nyarankan cadangan tersebut.

“Kena buat peringkat dalaman dan kemudian dengan PH, Kerajaan Perpaduan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat,” katanya.

Ahad lepas, media melaporkan, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai semasa berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur, mencadangkan supaya kerajaan memulakan pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu negara.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Bagaimanapun, UMNO dila­por menegaskan, partinya tidak akan sesekali bersetuju dengan cadangan DAP itu kerana menyifatkan ia tiada keperluan untuk dilaksanakan, sebaliknya fokus menangani ekonomi rakyat dan memakmurkan negara.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan akan mengadakan perbincangan de­ngan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung cadangan tersebut kerana ia di bawah bidang kuasa kementerian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×