PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia susut 7.5 peratus kepada RM2.413 trilion bagi tempoh Januari hingga November 2023, berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
MITI berkata, bagi tempoh berkenaan eksport susut 7.8 peratus kepada RM1.308 trilion, manakala import turun 7.1 peratus kepada RM1.105 trilion, dengan lebihan dagangan merosot sebanyak 11.3 peratus kepada RM202.49 bilion.
Katanya, pada November 2023, perdagangan Malaysia turun 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM231.79 bilion.
“Eksport mencecah RM122.10 bilion, menyusut 5.9 peratus tahun ke tahun, manakala import mengembang 1.7 peratus kepada RM109.69 bilion. Lebihan dagangan bernilai RM12.41 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-43 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Prestasi ini seiring dengan rakan dagang utama Malaysia yang lain seperti Taiwan, China (ROC) dan Indonesia di mana masing-masing merekodkan pertumbuhan perdagangan negatif pada November 2023 serta pengurangan dalam import global,” katanya dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Luar Bagi November 2023 dan Tempoh Januari-November 2023, semalam.
Menurut MITI, jumlah import pada November naik 1.7 peratus tahun ke tahun kepada RM109.69 bilion. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir ialah barangan pengantara bernilai RM56.21 bilion, barangan modal (RM14.94 bilion) dan barangan penggunaan (RM9.72 bilion).
Pada November, eksport barangan perkilangan merangkumi 83.8 peratus atau RM102.38 bilion daripada jumlah eksport, susut 6.7 peratus tahun ke tahun berikutan pengurangan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan bahan kimia serta kelengkapan pengangkutan.
Bagaimanapun, peningkatan eksport direkodkan bagi keluaran petroleum, jentera, kelengkapan dan peralatan, barangan perkilangan logam, barangan makanan diproses serta barangan besi dan keluli.
Eksport hasil galian merekodkan nilai bulanan tertinggi bagi 2023 setakat ini, berkembang 0.5 peratus tahun ke tahun kepada RM10.46 bilion (8.6 peratus syer).
“Eksport keluaran pertanian (6.9 peratus syer), menyusut 5.5 peratus kepada RM8.39 bilion berbanding November 2022 disebabkan terutamanya oleh pengurangan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit berikutan penurunan harga eksport minyak sawit,” katanya.
MITI berkata, bagi Januari hingga November, eksport barangan perkilangan turun 6.4 peratus kepada RM1.118 trilion berikutan penurunan eksport keluaran petroleum, barangan E&E, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta kimia dan bahan kimia.
Bagi tempoh berkenaan, perdagangan dengan ASEAN turun 6.3 peratus kepada RM663.75 bilion. Eksport turun 6.7 peratus kepada RM387.18 bilion berikutan eksport yang rendah bagi keluaran petroleum, barangan E&E, kimia dan bahan kimia serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
Pada November, perdagangan dengan ASEAN turun marginal 0.2 peratus tahun ke tahun, menyerap 27.3 peratus atau RM63.31 bilion daripada jumlah perdagangan Malaysia. Eksport susut 5.8 peratus kepada RM36.41 bilion disebabkan penurunan eksport barangan E&E.
Perdagangan dengan China bagi 11 bulan pertama pula susut 7.7 peratus kepada RM410.01 bilion dengan eksport menguncup 9.4 peratus kepada RM174.55 bilion berikutan penyusutan eksport barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli.
Pada November, perdagangan dengan China (17.7 syer), menguncup 5.0 peratus tahun ke tahun kepada RM40.95 bilion dengan eksport susut 8.4 peratus kepada RM17.22 bilion.
Sementara itu, perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 11 bulan pertama 2023, menguncup 7.4 peratus kepada RM227.07 bilion. Eksport jatuh 3.3 peratus kepada RM146.68 bilion berikutan pengurangan eksport barangan kayu, keluaran getah serta barangan besi dan keluli.
“Perdagangan dengan AS pada November 2023 (9.6 peratus syer) menyusut secara marginal sebanyak 0.7 peratus tahun ke tahun kepada RM22.22 bilion. Eksport mengurang 8.5 peratus kepada RM12.94 bilion,” katanya.
Bagi perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) pula turun 3.0 peratus kepada RM190.00 bilion dengan eksport merosot 8.9 peratus kepada RM103.85 bilion. Pada November 2023, perdagangan dengan EU susut 2.3 peratus tahun ke tahun kepada RM18.23 bilion dengan eksport turun 6.9 peratus kepada RM9.78 bilion.
Perdagangan dengan Jepun (5.8 peratus syer/RM13.49 bilion) pada November, turut susut 15.5 peratus dengan eksport susut 18.3 peratus kepada RM7.29 bilion berikutan penurunan eksport LNG, barangan E&E serta barangan besi dan keluli.
“Bagi tempoh Januari hingga November 2023, perdagangan dengan Jepun menurun 14.3 peratus kepada RM143.30 bilion berbanding tempoh yang sama 2022. Eksport menyusut 13.9 peratus kepada RM78.15 bilion berikutan pengurangan eksport LNG, keluaran petroleum serta barangan E&E,” jelas MITI
Menurut MITI, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut susut 7.3 peratus kepada RM1.628 trilion bagi tempoh 11 bulan pertama 2023, dengan eksport susut 6.9 peratus kepada RM911.79 bilion dan import jatuh 7.8 peratus kepada RM716.66 bilion.
Pada November 2023, perdagangan dengan rakan FTA yang menyumbang 67.5 peratus atau RM156.51 bilion, turun 3.8 peratus tahun ke tahun. Eksport susut 7.2 peratus kepada RM85.75 bilion dan import mengembang sebanyak 0.7 peratus kepada RM70.76 bilion. – UTUSAN










