Ibnor Riza: Keluarga reda selepas dimaklum doktor 6 bulan lalu

Ibnor Riza: Keluarga reda selepas dimaklum doktor 6 bulan lalu

JENAZAH Allahyarham Ibnor Riza dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasau, Tengkek, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Keluarga Allahyarham Ibnor Riza Ibrahim, 62, reda dengan pemergian penyanyi itu kerana telah dimaklumkan doktor tentang hayat Allahyarham yang dijangka boleh bertahan enam bulan sahaja.

Isteri pertama Allahyarham, Norhayati Mohamad Nor, 58, berkata, mereka sekeluarga sudah dimaklumkan oleh pegawai perubatan pada 29 Jun lalu mengenai keadaan kesihatan arwah yang semakin merosot.

“Pada pertengahan bulan lalu, Allahyarham mula demam tidak sembuh-sembuh sehinggalah pada 2 Disember lepas dia ditidurkan. Pada Jumaat lalu doktor sahkan sel otaknya telah mati,” katanya ketika ditemui selepas pengkebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kasau, Tengkek, di sini, malam kelmarin.
.
Menurut Norhayati, dia sudah 20 hari berada di sini bagi menemani arwah kerana baru menjalani pembedahan di bahagian perut.

Katanya, madunya yang merupakan isteri kedua Allahyarham, Sarimah Sulaiman, 51, juga menjaga Ibnor Riza sementara menunggu dia dibenarkan datang ke Malaysia dari Brunei.

“Alhamdulillah, ada hikmah, apabila dia sakit bergilir-gilir kami menjaganya,” katanya.

Lebih 200 orang hadir mengiringi penyanyi era-1980-an itu ke persemadian terakhirnya termasuk dalam kalangan ahli keluarga, saudara mara, penduduk kampung serta rakan-rakan artis.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM Cheras pada pukul 3.30 petang kelmarin.

Pada 2 Disember lalu, Allahyarham menjalani pembedahan di hospital itu bagi membuang air pada bahagian kanan kepala susulan kanser limfoma dihidapinya sudah merebak ke bahagian otak.

Ibnor Riza bagaimanapun tidak sedarkan diri selepas pembedahan dijalankan.

Kemudian, dia sekali lagi menjalani pembedahan selepas terdapat pendarahan pada bahagian kepalanya pada Rabu lalu.

Sementara itu, rakan artis, Ameng Spring menyifatkan negara kehilangan seorang penyanyi pop yang baik manakala Datuk Hattan pula menyifatkan pemergiaan Ibnor Riza sebagai kehilangan besar dalam industri seni negara.

Allahyarham Ibnor Riza memulakan kejaya seninya pada 1984 dengan menyertai pertandingan Bintang RTM. Allahyarham juga seorang kakitangan kerajaan namun bersara awal kerana memilih untuk menumpukan kerjaya seninya pada 1993.

Antara lagu yang terkenal dendangan Allahyarham adalah Mimpi Tak Sudah, Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu dan Suka Terluka Merindu Pula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×