SEREMBAN: Dua buah daerah di Negeri Sembilan iaitu Rembau dan Port Dickson bebas daripada Ketua Isi Rumah (KIR) kategori miskin tegar.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kejayaan itu sebahagian daripada usaha untuk menoktahkan miskin tegar di negeri ini menjelang 31 Disember ini.
“Saya ucapkan tahniah, dua daerah ini berjaya mengurangkan jumlah miskin tegar di Negeri Sembilan tetapi ini hanya sementara, saya pasti tahun depan akan hadir semula, ada golongan baharu yang datang.
“Usaha ini berterusan dan tidak pernah berhenti, kita mahu keluarkan semua daripada belenggu miskin tegar. jika ada baharu kita segera keluarkan mereka, itu yang akan kita lakukan.
“Daerah-daerah lain juga sedang berusaha dan saya yakin menjelang 31 Disember ini, semua daerah di Negeri Sembilan Keluar daripada miskin tegar,” katanya.
Sebelum ini, beliau memberitahu, jumlah miskin tegar di Negeri Sembilan berjaya dikurangkan sehingga seramai 923 orang setakat 12 Disember lalu berdasarkan sistem pengkalan data keluarga miskin (eKasih).
Sementara itu, Aminuddin berkata, individu miskin tegar dikeluarkan daripada kategori mereka bukan hanya menerusi bantuan wang tunai bulanan namun melibatkan banyak bantuan lain daripada pelbagai agensi termasuk daripada kerajaan Persekutuan.
“Banyak bantuan diberikan, bukan hanya bantuan bulanan sahaja, ada program ekonomi yang dilaksanakan agensi-agensi kerajaan seperti Risda dan Felcra.
“Di Negeri Sembilan juga ada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang sentiasa membantu, termasuk menerusi bantuan perniagaan malah bantuan membina dan membaiki rumah, ini usaha bagi memastikan kesejahteraan hidup mereka terjamin,” katanya. – UTUSAN










