Batal Seksyen 498: Seperti halalkan lelaki curang dengan isteri orang - Utusan Malaysia

Batal Seksyen 498: Seperti halalkan lelaki curang dengan isteri orang

Memansuhkan Seksyen 498 seperti menghalalkan lelaki berlaku curang dengan isteri orang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan mahkamah membatalkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan adalah satu kekhilafan undang-undang dan memberi implikasi serius, menyalahi agama dan adat tempatan.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan memansuhkan peruntukan itu dan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah untuk mendakwa lelaki yang menggoda isteri orang.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, pemansuhan seksyen itu menggambarkan perbuatan seorang lelaki yang menggoda hingga melakukan persetubuhan haram dengan isteri orang secara rela, tidak lagi menjadi satu kesalahan jenayah dari aspek undang-undang awam di Malaysia.

Dalam erti kata lain, menurut beliau, perbuatan curang seorang lelaki dengan isteri orang kini dihalalkan untuk menjadi satu amalan, malah menjadi pembelaan di sisi undang-undang.

“Saya berpandangan mahkamah telah khilaf kerana tidak melihat seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai peruntukan undang-undang am yang mengawal undang-undang peribadi.

“Ini kerana peruntukan tersebut menyentuh perlindungan yang diberikan kepada undang-undang keluarga iaitu hidup berumah tangga antara suami dan isteri.

“Perkara 8(5)(a) membenarkan diskriminasi termasuklah diskriminasi jantina apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri (personal law),” katanya di sini semalam.

Dalam penghakiman itu kelmarin, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengisytiharkan seksyen berkenaan tidak berperlembagaan kerana ia melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.

PERIBADI

Menurut Wan Ahmad Fauzi, undang-undang diri atau peribadi turut dikenali sebagai undang-undang keluarga atau undang-undang perkahwinan (rumah tangga) yang menyentuh perkahwinan, penceraian, penjagaan anak, pengangkatan anak, pusaka dan hak harta.

Dari aspek lain, katanya, mahkamah sepatutnya melihat lebih luas daripada isu diskriminasi jantina dan pemikiran feminisme barat tidak boleh diimport sebagai sumber perundangan di Malaysia kerana ia dibataskan oleh ajaran agama dan adat tempatan, malah Seksyen 3 Akta Undang-undang Sivil 1956 (Semakan 1972).

“Perlembagaan juga bertujuan memelihara kemoralan, justeru mahkamah tak wajar membatalkan Seksyen 498 kerana seksyen tersebut ialah peruntukan undang-undang am menyentuh kemoralan yang membataskan hak kebebasan asasi selain daripada dua perkara lagi yang diperuntukkan dalam Perkara 11(5) (Bahagian II Kebebasan Asasi),” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, Seksyen 498 adalah peruntukan undang-undang yang memelihara kesucian sebuah rumah tangga yang ditadbir oleh undang-undang keluarga, kemuliaan seorang isteri hendaklah dilihat dari sudut agama dan adat, bukannya mengikut neraca dikotomi.

ADAT

Jelasnya, undang-undang itu memelihara etika mengikut adat tempatan dan itulah prinsip kemoralan yang dilindungi oleh Seksyen 498.

“Perkara 11(5) memperuntukkan hak kebebasan agama tidak boleh bercanggah dengan undang-undang awam berkenaan ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan.

“Perbuatan seorang lelaki menggoda isteri orang adalah satu yang tidak bermoral dan tidak menggambarkan gaya hidup masyarakat yang madani malah mampu memporak-perandakan kehidupan dalam masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedudukan isteri dalam rumah tangga yang dimuliakan selama ini sekarang dipandang sebagai satu diskriminasi jantina oleh keputusan Mahkamah Persekutuan adalah bercanggah dengan Perkara 8(5).

Jelas beliau, Seksyen 498 adalah peruntukan undang-undang yang mengawal selia undang-undang keluarga.

Oleh kerana ikatan suami isteri itu adalah tertakluk kepada undang-undang keluarga, maka Seksyen 498 tersebut adalah sah dan berperlembagaan.

Tambah beliau lagi, undang-undang am yang menyentuh ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan merupakan prinsip undang-undang yang boleh membataskan semua hak dalam kebebasan asasi.

MENGGODA

“Tiada siapa pun patut memberi pertimbangan tindakan seorang lelaki yang menggoda atau memikat (entice) isteri orang dan perbuatan seorang isteri yang melayan dirinya digoda oleh lelaki lain itu lebih mulia daripada tanggapan bahawa Seksyen 498 itu sebagai undang-undang lapuk dan paternalistic,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada kewajaran seksyen itu dianggap melanggar autonomi dan maruah wanita kerana Isteri mempunyai kemuliaan di sisi suaminya, dan maruah suami akan tercalar malah dianggap dayus jika tidak mengawal akhlak isterinya.

Justeru, beliau mempersoalkan adakah kerana undang-undang yang memelihara kemuliaan seorang isteri dengan tidak membenarkannya untuk ‘berskandal’ dengan lelaki lain itu boleh dibatalkan semata-mata tanggapan bersifat lapuk dan paternalistic.

Katanya, Per 8(2) membenarkan diskriminasi jantina jika diberikan kebenaran oleh Perlembagaan. Perkara 8(5)(a) membenarkan diskriminasi jantina begitu juga undang-undang am yang berhubungan dengan ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan.

“Pendekatan tafsiran secara sempit oleh mahkamah dalam kes tersebut tentang pengecualian yang dibenarkan terhadap diskriminasi jantina di bawah Perkara 8 akan membuka kepada lebih banyak percanggahan dengan amalan sedia ada.

SELIA

“Seksyen 498 merupakan peruntukan nyata yang mengawal selia undang-undang keluarga dan sekatan kepada kebebasan asasi di bawah Bahagian II. Pengecualiaan kepada Perkara 8 tidak semestinya diletakkan di bawah Perkara 8. Perkara 11, 32, 38, 152, 153 dan 181 adalah contoh peruntukan Perlembagaan yang membenarkan diskriminasi agama, jantina dan keturunan.

“Mahkamah hendaklah mengutamakan prinsip ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan kerana itu juga merupakan asas kepada penggubalan suatu undang-undang. Tugas mahkamah bukan sahaja mengadili tetapi menguatkuasakan matlamat penggubalan undang-undang tersebut

Dari sudut ini, soalnya, adakah satu diskriminasi jantina apabila suami sahaja yang wajib dan perlu membayar nafkah isteri dan anak dan adakah diskriminasi jantina kerana wanita dikecualikan daripada hukuman sebat?

“Adakah mahkamah bersedia untuk membuat keputusan bahawa undang-undang sedemikian adalah terbatal kerana bercanggah dengan Perkara 8?” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×