Makmal persampelan NR-REE dibina di Simpang Pulai

Makmal persampelan NR-REE dibina di Simpang Pulai

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pembinaan makmal persampelan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang pertama di negara ini bakal dibina di Kawasan Perindustrian Simpang Pulai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan makmal yang kini menunggu kelulusan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu akan dibangunkan di tanah milik Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

Katanya, makmal itu dibina hasil usahasama MB Inc, Jabatan Mineral dan Galian (JMG) Perak, Bahagian Teknikal Ibu Pejabat JMG dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom.

“Pembangunan makmal ini begitu signifikan setelah kita melihat keperluan aktiviti pemprosesan hasil mineral NR-REE bagi menyokong industri hiliran di Malaysia khususnya di negeri Perak.

“Buat masa ini, hasil mineral yang diperoleh daripada projek NR-REE dibawa ke China untuk diproses menjadi 17 elemen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Perak Economic Outlook 2024 di Dewan Bankuet Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika pembinaan makmal berkenaan diluluskan, mana-mana negeri boleh menghantar sumber mineral ke makmal persampelan tersebut untuk dianalisis.

Menurut beliau, walaupun pembinaan makmal itu masih belum dimulakan, pihaknya telah melakukan persediaan termasuk melantik syarikat bagi mengendalikan operasi makmal tersebut.

“Kertas kerja berkaitan pembinaan makmal itu telah diserahkan kepada kementerian berkaitan, kita berharap agar pembinaannya diluluskan supaya ia boleh dijalankan segera.

“Kita kena siapkan segera makmal itu kerana kementerian telah mengarahkan NR-RRR tidak boleh dieksport. Kalau tidak boleh dieksport, apa kita hendak buat dengan benda (mineral) itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tiga lokasi dicadangkan kerajaan negeri bagi pembinaan makmal NR-REE iaitu di kawasan Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), Tanjung Malim; Silver Valley Technology Park (SVTP), Ipoh dan daerah Hulu Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×