PETALING JAYA: Rombakan Kabinet membuka jalan kepada pertukaran besar-besaran dalam kalangan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan lantikan baharu pegawai Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) ke jawatan itu.
Ini kerana rombakan Kabinet membabitkan empat kementerian baharu iaitu Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital.
Sekurang-kurangnya antara dua hingga empat lantikan baharu KSU bakal berlaku pada masa terdekat untuk mengisi keperluan di Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipecahkan kepada dua lagi entiti berbeza.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, calon-calon pegawai tinggi untuk mengisi jawatan KSU sedang dikenal pasti dan pelantikan baharu bakal dilakukan pada masa terdekat.
“Ini bermakna calon-calon pengisian KSU baharu sedang dikenal pasti dan akan dilantik dalam masa terdekat.
“Langkah ini bagi memastikan segala kelancaran tadbir urus kementerian terbabit dapat dilaksanakan secara teratur serta menyokong fungsi dan peranan kementerian dalam menyokong hasrat dan aspirasi Perdana Menteri,” katanya.
Rombakan Kabinet kelmarin menyebabkan beberapa menteri terpaksa bertukar tugas apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dipilih mengetuai Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam yang dipecahkan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim manakala Nik Nazmi Nik Ahmad pula diamanahkan di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Perkara sama berlaku di Kementerian Komunikasi dan Digital dengan dipecahkan kepada dua entiti iaitu Kementerian Komunikasi diketuai Fahmi Fadzil manakala Gobind Singh Deo di Kementerian Digital.
DIKETUAI
Malah portfolio Wilayah Persekutuan sebelum ini bertaraf jabatan kini diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Dr. Zaliha Mustafa yang sebelum ini Menteri Kesihatan.
Kali terakhir pusingan dan pertukaran KSU dan Ketua Perkhidmatan adalah pada September lalu iaitu melibatkan pemindahan empat KSU kementerian ke penempatan baharu dan satu lantikan baharu KSU.
Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr Jeniri Amir berkata, tambahan kementerian, KSU dan kakitangan baharu sudah tentu meningkatkan kos mengurus kerajaan.
Sebaliknya kata beliau, kecekapan urusan pentadbiran harus diutamakan kerana tanpanya, ia boleh menjejaskan perjalanan tadbir urus kerajaan demi memudahkan urusan rakyat.
Kata beliau, amalan tatakelola dan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan sekarang sudah pasti dapat mengurangkan kos kerajaan sekali gus menjimat wang negara.
“Namun paling utama kerajaan kena membuktikan kecekapan dengan pertambahan kementerian ini. Jika tidak, ia boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan persoalan dalam kalangan masyarakat terhadap keperluan menambah kementerian sehingga meningkatkan kos,” katanya. – UTUSAN











