PETALING JAYA: Rombakan Kabinet dapat membantu memperkukuh ringgit dan menyakinkan pelabur seterusnya merangsang pasaran saham, kata penganalisis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Fuad Mohamed Berawi berkata, pelantikan tokoh korporat dalam Kementerian Kewangan dijangka dapat meredakan tekanan politik.
Katanya, ini akan mendorong pasaran lebih terbuka dan kompetitif dalam jangka pendek dan sederhana tanpa pengaruh politik secara langsung.
“Pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II dilihat satu suntikan baharu ke dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Khidmat beliau diperlukan dalam usaha membangunkan gaya pentadbiran kementerian yang cekap dengan nafas baharu untuk pertumbuhan dan perkembangan ekonomi dari sudut korporat.
“Beliau dapat menggunakan pengalaman dan kepakarannya dalam membangunkan pendapatan dan kekayaan negara untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Fuad berpendapat, Amir Hamzah dijangka meningkatkan peranan swasta dan sektor korporat terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GIC) bagi meningkatkan sumbangan dan aliran tunai dalam akaun pendapatan negara.
“Selain itu, beliau diharap dapat mempercepat pemulihan syarikat-syarikat GIC yang mengalami kerugian serta mempelbagai usaha pelaburan dalam bidang baharu yang kurang diteroka seperti bidang digital.
“Namun begitu, beliau diharap tidak meminggirkan kebajikan dan kesejahteraan B40 dan luar bandar,” ujarnya.
Dalam rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, Amir Hamzah dilantik sebagai Menteri Kewangan II berkuat kuasa kelmarin.
Terdahulu, Amir Hamzah telah mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara. – UTUSAN










