SEREMBAN: Insiden pencemaran bau minyak di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di sini, berulang kelmarin dan ia adalah kali kedua dalam tempoh sebulan.
Sekali lagi LRA tersebut terpaksa menghentikan pengeluaran air bagi menepati piawaian kualiti air minum kebangsaan susulan pencemaran itu.
Keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan di daerah Port Dickson khususnya di Lukut dan Chuah mengalami gangguan dan ketiadaan bekalan air, tidak terkecuali beberapa tempat di daerah Rembau serta Seremban.
Kesal dengan isu gangguan bekalan air yang sering berlaku, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa menggesa pihak berkuasa mengenakan tindakan paling tegas termasuk hukuman penjara terhadap pelaku kejadian pencemaran berkenaan.
“Ambil tindakan paling tegas terhadap penyebab pencemaran air ini termasuk hukuman penjara kepada pelakunya. Kerajaan negeri perlu mengambil pengajaran dan memandang serius terhadap perkara ini, kerana air adalah sumber terpenting untuk kehidupan rakyat.
“Saya juga berharap satu tindakan perancangan dibuat bagi memastikan kilang-kilang berkaitan minyak dan gas serta bahan-bahan kimia tidak beroperasi lagi berhampiran kawasan sungai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) menerusi kenyataan memaklumkan, pengeluaran air dari loji rawatan tersebut terpaksa dihentikan untuk menepati piawaian kualiti air minum kebangsaan.
Bagaimanapun, pencemaran bau air mentah di LRA Sungai Linggi tidak lagi dikesan pada pukul 2 petang kelmarin dan loji air berkenaan mula beroperasi secara berperingkat sebelum air dapat disalurkan semula.
Pada 7 November lalu, operasi LRA Sungai Linggi di sini juga terpaksa dihentikan buat sementara waktu selepas terdapat aduan air Sungai Linggi di muka sauk LRA tersebut berbau diesel.
Kejadian pada ketika itu turut mengecewakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang menyifatkan ia sebagai perbuatan khianat dan biadab kerana telah menyusahkan masyarakat yang lain.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Hamzah Mohamad ketika dihubungi berkata, susulan kejadian terbaharu itu, pihaknya menggerakkanpasukan untuk menjalankan pemeriksaan di premis-premis di sepanjang aliran atas Sungai Linggi sehingga di muka sauk LRA Sungai Linggi. – UTUSAN










