PUTRAJAYA: Kerajaan perlu menyegerakan penggubalan Akta Antibuli Siber dalam usaha mengekang banyak kes remaja membunuh diri akibat tekanan penderaan mental alam maya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, perkara itu wajar dipercepat bagi memastikan gejala negatif itu ditakrifkan sebagai jenayah dan boleh dikenakan hukuman.
“Indeks Belia Malaysia sebelum ini turut memberi petunjuk berhubung peningkatan kecenderungan bunuh diri dalam kalangan remaja tempatan sudah sangat membimbangkan.
“Salah satu faktor utama disenaraikan itu disumbangkan oleh buli siber,” katanya merujuk kajian dilakukan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) pada tahun lalu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Pemangku Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Fahami Ashrof Badaruddin menerusi akhbar ini, semalam.
Ketua Aktivis MBM itu mendedahkan majoriti mangsa buli siber di negara ini adalah remaja perempuan Melayu dan dibimbangi mencetuskan pelbagai isu sosial lain.
Penggubalan akta tersebut pernah disuarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada tahun lalu dan diulangi semula ketika ditemui media minggu lepas.
Mengulas lanjut, Jufitri berkata, isu mengenai akta itu sudah lama diperdebat bahkan peruntukan undang-undang sedia ada yang berkaitan gejala tidak sihat tersebut perlu dipinda.
“Apa yang termaktub dalam Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi tujuan penguatkuasaan hukuman kepada pembuli siber wajar diperjelas lebih terperinci.
“Permohonan maaf tidak cukup tanpa hukuman kerana kaedah itu juga sebagai pendidikan dan amaran kepada yang belum terlibat agar tidak cuba melakukannya pula,” tegas beliau.
Ujarnya, kajian IYRES itu selari hasil dapatan Dana Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang melaporkan tiga daripada 10 belia di Malaysia pernah menjadi mangsa buli siber.
Lebih buruk penyelidikan oleh sebuah firma kajian pasaran antarabangsa ternama, Ipsos mendedahkan Malaysia keenam tertinggi buli siber di dunia dan kedua di Asia selepas India.
Justeru, beliau berpendapat, undang-undang spesifik amat perlu kerana golongan belia amat rentan terdedah kepada gejala itu khususnya didera oleh sesama rakan sebaya sendiri pula.
Pada masa sama, akta itu akan menjadi garis panduan kepada komuniti belia kepada proses kawalan kendiri penggunaan berhemah media sosial secara pintar dan bermanfaat.
“Belia juga perlu tahu bahawa terdapat banyak juga kepalsuan, hipokrasi dan kebencian dalam dunia alam maya yang perlu dibezakan dengan dunia realiti bagi menepis gejala ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










