Bank perlu longgar syarat - Utusan Malaysia

Bank perlu longgar syarat

Permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital itu melibatkan pelbagai pihak termasuk bank-bank.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank perlu melonggarkan syarat dan sa­ringan ketat untuk penerima bantuan supaya hasrat negara memulihkan ekonomi melalui pakej rangsangan ekonomi dapat dicapai.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, jika bantuan rangsangan tidak dapat disampaikan kepada golongan sepatutnya, sasaran pertumbuhan ekonomi lima hingga enam peratus tahun ini mungkin tidak tercapai.

Malah, kata beliau, kadar muf­lis dan gulung tikar pula berkemungkinan naik berlipat kali ganda.

“Jika terlalu banyak syarat dikenakan, tapisan dan sari­ngan pula terlalu ketat dan ke­tinggalan zaman, maka hasrat negara untuk membangunkan kembali ekonomi akan terbantut.

“Jika benar apa yang diutarakan oleh kumpulan usahawan bahawa yang menerima bantuan serta pembiayaan itu terlalu kecil hingga digambarkan hanya 3.2 peratus, ia sesuatu yang amat dikesali,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan kumpulan perniagaan yang dikenali sebagai Business Survival Goup (BSG) mendakwa bantuan kewa­ngan kerajaan bernilai berbilion ringgit tidak diterima oleh sektor yang terkesan berikutan syarat ketat yang dikenakan bank.

Menurut kumpulan yang dianggotai 262 persatuan dan lebih 900,000 perniagaan itu, data daripada Kementerian Kewangan menunjukkan hanya 3.2 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima bantuan yang diberikan.

Baharom berpendapat, pi­hak bank harus berpandangan jauh kerana bantuan yang dipermudahkan akan membantu PKS memajukan perniagaan mereka seterusnya memakmurkan ekonomi negara yang limpahannya akan turut dirasai sektor perbankan.

Kata beliau, sering kali keluhan sama didengari bahawa pihak bank lebih memikirkan risiko dan pulangan tanpa mengambil kira potensi masa hadapan atau tanggungjawab sosial untuk membantu mereka yang terkesan.

“Pihak perbankan, khususnya perbankan Islam harus membuktikan slogan yang diguna pakai iaitu going beyond profit bukan sekadar slogan. Mereka harus buktikan mereka juga sama berganding dengan pihak kerajaan dalam membantu industri dan sektor yang terkesan untuk pulih kembali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, syarat-syarat yang diletakkan perlu dipatuhi kerana bank merupakan institusi yang sentiasa dalam kawalan Bank Negara Malaysia (BNM).

Kata beliau, pemantauan yang dilakukan adalah menyeluruh bermula dari peringkat permohonan sehingga pemberian dana kepada peminjam.

“Selain itu, dari sudut pengurusan risiko, kecairan, kecukupan modal serta pematuhan undang-undang yang berkaitan juga dipantau BNM.

“Sekiranya bakal peminjam rasa permohonan mereka tidak dipertimbangkan seadil­nya, maka mereka boleh memanjangkan perkara tersebut kepada BNM melalui saluran yang disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×