R&R Genting Sempah bagaikan pesta durian

R&R Genting Sempah bagaikan pesta durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEENAKAN durian Pahang sama ada musang king, premium kampung atau kampung biasa memang nikmat yang tiada tandingannya.

Maka tidak hairanlah apabila ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat tegar raja
buah itu.

Pahang sememangnya terkenal dengan durian seperti Musang King yang hidup subur khususnya di Raub,
Bentong, Jerantut dan Lipis.

Rekod menunjukkan daerah Raub mempunyai tanah paling subur untuk penanaman Musang King dengan lebih
600,000 pokok durian yang direkodkan pada 2020 di atas tanah seluas 9,826 hektar.

Ekoran keenakan durian dari negeri ini khususnya Raub, setiap kali hujung minggu, daerah ini termasuk
Bentong dan Jerantut pasti dipenuhi penggemar raja buah itu yang datang menikmati keenakan durian
Pahang.

Raub, setiap kali hujung minggu, daerah ini termasuk Bentong dan Jerantut pasti dipenuhi penggemar raja buah itu yang datang menikmati keenakan durian Pahang.

Meskipun harga ditawarkan agak tinggi iaitu sekitar RM25 sehingga RM60 sekilogram bagi Musang King, ia tidak menjadi penghalang buat peminatnya demi menikmati keenakan durian Pahang khususnya dari Raub.

R&R GENTING SEMPAH
Sekiranya anda peminat durian, anda tidak perlu lagi masuk sehingga ke Raub ataupun Bentong untuk makan atau membeli durian Pahang.

Sebaliknya orang ramai boleh mendapatkan durian segar dan tulen yang dijual di gerai atau menikmati buah durian terus dari kebun durian sekitar Raub di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah di Bentong.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan GSRR Pahang Durian World Sdn. Bhd., Brandon Quah, berkata, inisiatif berkenaan diperkenalkan lantaran syarikat mahu menjadikan R&R Genting Sempah sebagai hab makan durian Pahang dan tumpuan pelancong tempatan dan asing.

Idea berkenaan tercetus apabila melihat ramai peminat raja buah itu sanggup memandu jauh ke
Raub, Bentong dan Jerantut semata-mata menikmati durian segar Pahang.

“Bila lihat ada gerai kosong di R&R Genting Sempah, kita sewa dan jadikan tempat makan dan beli durian segar dari Pahang.

“Kita baru bermula awal bulan ini dengan setiap hari terdapat kira-kira satu tan durian jenis musang
king, xo, d24, duri hitam, teka dan juga durian kampung dijual di gerai ini,” kata Quah.

Pelbagai variasi durian di Raub antaranya musang king, xo, d24, duri hitam, teka dan juga durian kampung ada di sediakan.

Durian dijual di GSRR Pahang Durian World di R&R Genting Sempah hanya durian segar yang dibawa setiap hari dari Raub dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Musang King dijual RM45 sekilogram, xo RM28, D24 RM25, duri hitam (RM65), Teka (RM38) dan durian
kampung RM12 sekilogram.

Lokasi berkenaan turut menyediakan bufet makan durian RM38 satu kepala.

Bagaimanapun kata Quah, bufet berkenaan hanya untuk durian kampung sahaja yang mana orang ramai boleh makan durian kampung sampai puas.

“Lokasi makan durian luas dan selesa. Ia boleh memuatkan 200 ke 300 orang pada satu-satu masa. Malah ada enam bilik untuk keluarga khususnya bagi mereka yang ada anak kecil,” katanya.

Realitinya, apa yang membezakan durian Raub dengan durian negeri lain adalah rasa dan tekstur buah.

Kebanyakan durian dari Raub di tanam di kawasan tanah tinggi dan berbukit. Keadaan persekitaran suhu yang dingin mempengaruhi penghasilan buah durian Raub.

Justeru, sesiapa sahaja yang melalui lebuh raya untuk ke Kuala Lumpur dan Pantai Timur boleh singgah di R&R Genting Sempah dan makan durian. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×