‘Jika dunia terus diam, tiada lagi rakyat Palestin berbaki’ - Utusan Malaysia

‘Jika dunia terus diam, tiada lagi rakyat Palestin berbaki’

Penduduk Palestin yang cedera semasa pengeboman Israel dibawa ke hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza pada 5 Disember lalu. - Gambar AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Setiap minit, setiap detik, situasi di Gaza semakin genting. Jika dunia terus berdiam diri, mungkin tiada lagi rakyat Palestin yang berbaki.”

Demikian luahan Pengarah Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Gaza, Ahmed Abu Ayesh An Najjar mengenai kekejaman Zionis yang tidak nampak akan berakhir selepas tercetus 7 Oktober lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abu Ayesh berkata, rejim Zionis meningkatkan serangannya terhadap Khan Younis dan Rafah sejak gencatan senjata berakhir Jumaat lalu sehingga keseluruhan tanah Palestin di Gaza sudah tidak selamat untuk diduduki.

Menurutnya, jumlah pelarian di kedua-dua daerah tersebut juga semakin meningkat apabila dilaporkan menjadi pusat perlindungan kepada hampir 1.9 juta orang berbanding 1.5 juta sebelum ini.

“Serangan bertali arus rejim Zionis terhadap kediaman orang awam, bangunan kerajaan, hospital, sekolah dan kem pela­rian mengakibatkan angka korban kekejaman tentera Israel terus meningkat saban hari.

“Bayangkan, dengan kepadatan penduduk yang semakin meningkat di sini (Khan Younis) pada masa sama rejim Zionis mempertingkatkan serangan mereka, tak mustahil jumlah kematian terus melonjak,” katanya ketika dihubungi.

BERLINDUNG

Abu Ayesh berkata, beliau dan keluarganya turut hilang tempat berlindung apabila kediaman mereka musnah sama sekali dibedil rejim Zionis kelmarin.

“Syukur Alhamdulillah, ketika roket dijatuhkan tiada sesiapa di rumah, tetapi kini kami tiada tempat untuk dituju.

“Keadaannya seperti hari kiamat. Orang ramai tak tahu apa yang harus dibuat, ke mana harus dituju. Kepulan asap di mana-mana, deretan api di te­ngah, di utara, di selatan bandar Khan Younis,” katanya.

Angka kematian di Gaza sejak peperangan meletus 7 Oktober lalu mencecah 16,000 namun ia tidak mencerminkan jumlah sebenar berikutan terdapat lebih 7,500 orang lagi dilaporkan hilang dipercayai meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan.

Daripada jumlah itu, 6,600 daripadanya adalah kanak-kanak manakala lebih 4,300 lagi adalah wanita sementara lebih 42,000 dilaporkan mengalami kecede­raan akibat serangan kejam rejim Zionis.

Dalam serangan sama, seramai 77 wartawan, 26 pegawai pertahanan awam dan 280 pegawai perubatan turut terkorban setakat ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×