Berpantang dalam kereta selepas melahirkan anak

Berpantang dalam kereta selepas melahirkan anak

ORANG ramai cuba memberikan bantuan kepada sebuah keluarga yang menjadikan kereta sebagai tempat tinggal mereka di hadapan Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria di Sungai Petani. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Nasib seorang wanita yang terpaksa berpantang dan tinggal di dalam kereta bersama keluarga mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil membantu termasuk menyediakan tempat untuk berteduh.

Difahamkan, wanita tersebut selamat melahirkan cahaya matanya di sebuah hospital di sini, enam hari lalu, namun meninggalkan hospital itu sebelum mendapat kebenaran keluar wad.

Setelah tiada tempat dituju dipercayai akibat berdepan masalah keluarga, dia bersama pasangan yang kedua-dua mereka berusia 30-an serta seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun terpaksa tinggal di dalam kereta di hadapan Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria, di sini.

Kisah mereka tular dalam media sosial setelah ditemukan orang ramai yang mendapati mereka berempat terpaksa bermalam di dalam kereta Proton Saga.

Bagaimanapun, mereka diberikan tempat tinggal sementara di Murtadha Dakwah Centre (MADAD), di sini selain menerima pelbagai sumbangan seperti wang tunai dan barangan keperluan harian.

Menurut ketua keluarga berkenaan yang enggan dikenali, dia terpaksa bermalam di situ kerana tidak mempunyai pilihan selepas tidak lagi dibenarkan tinggal bersama dua abangnya di rumah sewa mereka di Taman Sejati di sini.

“Sebelum ini kami menumpang tinggal bersama mereka, tetapi, selepas diarah keluar rumah, saya terpaksa tinggal bersama keluarga di sini kerana tiada kenalan untuk menumpang serta tiada wang untuk menyewa rumah tumpangan.

“Kami mandi-manda di masjid berkenaan dan hanya makan ala kadar sepanjang berada di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof berkata, sebaik menerima maklumat kejadian itu dia membawa keluarga malang terbabit untuk tinggal sementara di pusat dakwah miliknya.

“Semalam, Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sungai Petani serta beberapa agensi lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu mereka.

“Kita sedang bekerjasama dengan pihak terlibat bagi mencari jalan untuk memudahkan keluarga ini menguruskan kehidupan mereka di masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, satu sumber memaklumkan, terdapat laporan polis dibuat oleh pihak hospital kerana tindakan wanita itu meninggalkan wad tanpa kebenaran, namun, dikhabarkan laporan itu sudah ditarik semula setelah mengetahui kisah menimpa mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×