UMUM mengetahui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) merupakan sebuah institusi hak asasi manusia. Ia ditubuhkan oleh Parlimen di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) dan mula beroperasi pada April 2000.
Suruhanjaya ini berperanan mempergiat pendidikan hak asasi manusia, menasihati dasar dan perundangan serta melakukan penyiasatan. Ia juga ditubuhkan daripada faktor pembabitan aktif Kuala Lumpur dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) antara 1993 dan 1995 selepas dilantik menganggotai badan itu.
Sejak ditubuhkan, peranan Suhakam semakin meluas dan ia perlu selari dengan aspirasi kerajaan perpaduan. Kerana itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Suhakam (Pindaan 2023) pada 27 November lalu menyatakan hak asasi rakyat dijamin di bawah Bahagian Kedua, Kebebasan Asasi, Perlembagaan Persekutuan dari Perkara 5 yang menjelaskan mengenai kebebasan diri hingga Perkara 13 yang melindungi hak terhadap harta.
Perkara ini juga diperuntukkan dalam Seksyen 2 Akta Suhakam 1999 (Akta 597). Dalam setiap agama, tidak kiralah Islam, Kristian, Buddha, Hindu mahupun agama-agama lain, hak asasi dan prinsip kemanusiaan dimartabatkan.
Sedangkan di peringkat antarabangsa pula, terdapat pelbagai instrumen berkaitan dengan hak asasi manusia. Instrumen utama ialah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang telah wujud sejak 10 Disember 1948 dan menggariskan prinsip-prinsip hak asasi manusia termasuklah prinsip kesamarataan.
Selepas lebih dua dekad penubuhan Suhakam, kerajaan perpaduan yang ada pada hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah proaktif untuk menambah baik kelompangan sedia ada bagi memastikan Suhakam yang juga merupakan badan pemantau kerajaan kekal relevan sebagai organisasi progresif tanpa membelakangkan acuan unik negara kita.
Usaha ini penting memandangkan tiada komitmen atau pindaan dibuat sejak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad hingga era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kerajaan kini mengambil langkah ini sebagai fasa penambahbaikan berikutnya untuk terus memperkasa fungsi Suhakam dalam membantu melindungi dan memajukan hak asasi manusia selaras Seksyen 4 Akta 597.
“Kerajaan perpaduan berpandangan telah tiba masanya bagi kita menerima hakikat bahawa nilai ihsan dalam konsep madani sewajarnya menjadi teras dalam semua polisi kerajaan, tidak kira polisi yang berkaitan dengan sektor awam mahupun sektor swasta. Hal ini kerana pandemik Covid-19 telah membuka mata kita bahawa kewajipan untuk melindungi hak asasi manusia mencakupi pelbagai dimensi dan pemegang taruh, termasuk sektor swasta,” kata Azalina ketika Bacaan Kedua Rang Undang-Undang Suhakam (Pindaan) 2023.
OKU
Antara pindaan tersebut adalah berhubung bilangan keanggotaan suruhanjaya dan kriteria pelantikan Pindaan Seksyen 5 (Bilangan 13 anggota suruhanjaya. Pindaan ini bertujuan mengadakan peruntukan bagi bilangan minimum keanggotaan suruhanjaya dan untuk memperuntukkan secara nyata bahawa anggota hendaklah dilantik dalam kalangan warganegara Malaysia yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman praktikal dalam perkara hak asasi manusia terdiri daripada lelaki dan wanita daripada pelbagai latar belakang agama atau kaum dan orang kurang upaya (OKU).
Ini bermakna anggota suruhanjaya yang dilantik hendaklah terdiri daripada sekurang-kurangnya seorang wakil OKU dan sekurang-kurangnya 30 peratus wakil dalam kalangan wanita.
Melihat pada saranan itu, nampaknya kerajaan betul-betul peka tentang keperluan memasukkan golongan OKU sebagai anggota suruhanjaya. Ini kerana wakil OKU itu akan menjadi suara kepada golongan minoriti tersebut memandangkan hanya mereka yang mengetahui keperluan dalam pendidikan, kemudahan, sokongan serta pekerjaan.
Bahkan, tidak boleh dinafikan sehingga kini golongan OKU masih lagi berhadapan dengan persepsi negatif dan diskriminasi masyarakat, sekali gus dinafikan layanan sama rata disebabkan oleh ketidakupayaan mereka. Stigma yang berterusan ini mendorong berlakunya diskriminasi terhadap OKU dalam sektor pendidikan mahupun pekerjaan serta kemudahan untuk mengakses kemudahan awam atau bangunan sekali gus menidakkan hak mereka untuk mendapat layanan sama rata dengan masyarakat normal.
Kita perlu mengambil contoh beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Perancis yang mengangkat kesamaan sebagai teras utama bagi setiap instrumen dan triti perundangan hak asasi negara itu.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, bekas Senator yang juga aktivis OKU, Datuk Ras Adiba Radzi bersetuju dengan cadangan pelantikan seorang wakil OKU sebagai anggota Suhakam seperti dinyatakan Azalina.
“Perkara ini pernah saya nyatakan dalam Dewan Negara ketika berkhidmat sebagai Senator mewakili OKU.
“Pelantikan ini dapat membantu dalam memantau pelaksanaan perkara berkaitan pembangunan OKU termasuk Akta OKU 2008. Ini juga membolehkan golongan OKU menyalurkan sebarang bentuk aduan, rayuan dan petisyen berkaitan pelanggaran hak mereka,” katanya.
Malah, tambah Ras Adiba, keanggotaan itu akan menggambarkan inklusiviti sebenar dalam menjamin hak dan kebebasan kesemua segmen komuniti di negara ini.
“Saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan mewujudkan jawatan Ketua Pesuruhjaya OKU di bawah Suhakam sama seperti Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak. Tentunya ini akan melindungi hak dan kebajikan komuniti OKU di negara ini dan akan menjadi titik tolak dalam menyelesaikan pelbagai isu dan permasalahan termasuk penderaan kanak-kanak OKU,” katanya lagi.
Turut senada, Presiden Persatuan Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (KUAM), Suhairi Abdullah yang menyatakan melalui saranan itu akan membuka peluang kepada golongan minoriti ini menyuarakan hak mereka untuk didengar.
Dengan penambahbaikan ini, kerajaan melalui Suhakam dapat memberi gambaran yang jelas tentang definisi dan keperluan OKU sekali gus membuka ruang sebesar-besarnya buat mereka di bumi Malaysia untuk tidak terus terasa terpinggir dan hidup dalam kelompok terasing.
Dan dengan usaha ini, maruah golongan OKU akan terus dipelihara dan diberi penghormatan dalam pelbagai bidang dan sektor. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











