RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz meluluskan beberapa insentif bagi sektor perniagaan berkaitan haji dan umrah beroperasi, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).
Langkah itu sebahagian daripada kesungguhan Raja Salman untuk mengurangkan beban ekonomi dan kewangan akibat pandemik Covid-19 terhadap individu, perniagaan sektor swasta serta pelabur.
Kerajaan Arab Saudi turut melancarkan lebih 150 inisiatif dengan peruntukan berjumlah AS$47.9 bilion (RM191.6 bilion).
“Inisiatif itu merupakan lanjutan usaha Raja Salman untuk membasmi kesan terhadap kewangan dan ekonomi dalam operasi haji dan umrah akibat pandemik tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Berikut merupakan antara inisiatif tersebut:
- Kemudahan dikecualikan daripada bayaran tahunan bagi lesen aktiviti komersial perbandaran selama setahun di Mekah dan Madinah.
- Sektor haji dan umrah dikecualikan daripada bayaran untuk ekspatriat yang bekerja selama enam bulan.
- Lesen bagi kemudahan fasiliti daripada Menteri Pelancongan boleh diperbaharui secara percuma selama setahun di Mekah dan Madinah, serta boleh dilanjutkan.
- Kutipan bayaran pembaharuan penduduk bagi ekspatriat bekerja dalam aktiviti berkaitan sektor haji dan umrah akan ditangguhkan selama enam bulan, dan jumlah akan dibayar secara ansuran selama setahun.
- Pengesahan lesen (borang permohonan) bagi operasi bas di fasiliti yang membawa jemaah haji akan dilanjutkan tanpa sebarang caj selama setahun.
- Kutipan cukai bagi bas baharu semasa musim haji tahun ini akan ditangguhkan selama tiga bulan dan boleh dibayar secara ansuran selama empat bulan bermula daripada tarikh pembayaran.











