PETALING JAYA: Public Bank Bhd. mencatatkan pertumbuhan untung bersih bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 sebanyak tujuh peratus kepada RM1.7 bilion daripada RM1.59 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya, didorong pertumbuhan pinjaman dan deposit pelanggan yang sihat.
Dalam pemfailan di Bursa Malaysia hari ini, Bank berkata, pendapatan bagi suku tersebut meningkat kepada RM6.48 bilion daripada RM5.50 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan sesaham pula meningkat kepada 8.76 sen daripada 8.19 sen.
Bagi sembilan bulan pertama tahun ini pula, Public Bank merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM5.03 bilion berbanding RM4.41 bilion pada tahun sebelumnya dengan hasil sebanyak RM18.87 bilion berbanding RM15.36 bilion.
Public Bank berkata, bagi suku dalam tinjauan, faedah bersih dan pendapatan perbankan Islam meningkat sebanyak RM90.2 juta manakala pendapatan bukan faedah dan pembiayaan meningkat sebanyak RM16.6 juta.
Katanya, ini sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi dan elaun kemerosotan pinjaman yang lebih tinggi.
“Keuntungan sebelum cukai perbankan pelaburan meningkat RM1.2 juta kepada RM10.0 juta, terutamanya disebabkan oleh pendapatan pembrokeran saham yang lebih tinggi tetapi sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan faedah bersih yang lebih rendah dan perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi.
“Sementara itu, keuntungan sebelum cukai pengurusan dana meningkat sebanyak RM17.0 juta kepada RM205.2 juta.
“Ini disebabkan oleh yuran pengurusan yang lebih tinggi daripada purata nilai aset bersih dana yang lebih tinggi, yuran jualan unit amanah yang lebih tinggi dan pendapatan faedah yang lebih tinggi,” katanya.
Public Bank berkata, keuntungan sebelum cukai operasi luar negara berkurangan sebanyak RM65.3 juta kepada RM151.9 juta berikutan yuran dan pendapatan lain yang lebih rendah, elaun rosot nilai pinjaman yang lebih tinggi dan perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi.
Mengulas mengenai prospek, Public Bank berkata, Bank kekal komited untuk mengukuhkan kehadiran serantaunya di Indochina, sambil memanfaatkan penjenamaan kukuh dan amalan pengurusan berhemat.
“Bank akan terus mengembangkan perniagaan khususnya di Vietnam dengan memanfaatkan persekitaran ekonomi yang teguh.
“Public Bank akan terus memastikan bank kekal bermodal dan dibiayai dengan baik pada setiap masa untuk menyokong pertumbuhan perniagaan, sambil menjaga kepentingan pemegang kepentingannya,” ujarnya. – UTUSAN










