PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu membiarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diterajui pemimpin-pemimpin pelapis dan beliau harus berehat daripada arena politik sekali gus memberi peluang parti itu bangkit semula.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, tindakan u-turn oleh bekas Perdana Menteri itu mungkin untuk melihat sama ada terdapat duri dalam daging Bersatu iaitu puak yang gembira beliau tidak lagi menerajui parti.
Bagaimanapun, menurut beliau, Muhyiddin seharusnya kekal dengan keputusannya untuk tidak bertanding sebagai Presiden Bersatu pada pemilihan akan datang, kerana beliau akan dilihat sebagai pemimpin tidak tegas sekiranya menarik semula pengumuman tersebut.
TEGAS
“Ini memperlihatkan Muhyiddin sebagai seorang pemimpin yang tidak tegas dalam membuat keputusan. Sepatutnya keputusan sebesar dan sepenting itu sebelum diumumkan seharusnya beliau kena hintung secara mendalam. Alasan isterinya menggalakan itu, menggambarkan beliau membuat keputusan sebelum ini tanpa berunding dengan keluarga, jika benar itu alasannya.
“Namun, hakikatnya ia menggambarkan Muhyiddin tidak yakin dengan pimpinan sedia ada untuk terajui Bersatu, sedangkan barisan di peringkat bawah dan lapisan kedua itu sebenarnya lebih berupaya untuk mengambil alih kedudukan sebagai ketua parti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Oleh itu, katanya, Muhyiddin wajar memberi ruang kepada barisan pemimpin pelapis kerana berdasarkan apa yang berlaku jelas menunjukkan pemimpin dalam Bersatu sudah hilang kepercayaan terhadap beliau.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahan jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti itu tetapi menarik balik hasratnya selepas mendengar ucapan dan perbahasan perwakilan serta kepemimpinan parti.
Mengulas lanjut, Dr. Jeniri berkata, untuk memastikan imej Bersatu dipulihkan dan boleh bergerak ke hadapan, Muhyiddin perlu kekal dengan keputusannya untuk tidak bertanding pada pemilihan akan datang.
“Ini memberi kesan terhadap pandangan rakyat mengenai beliau sebagai pemimpin Bersatu,” katanya. Jadi tidak wajar untuk beliau membuat pusingan u-turn terutama Muhyiddin sudah pun menikmati kedudukan sebagai Perdana Menteri.
“Jika Muhyiddin ingin lihat Bersatu bergerak kehadapan dan mantap jadi beliau perlu beri ruang kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Seri Hamzah Zainudin atau mana-mana pemimpin yang layak terajui parti,” katanya. – UTUSAN











