PETALING JAYA: Pengumuman kadar agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sebanyak 3.1 peratus baru-baru ini menunjukkan prestasi kewangan badan berkanun itu pada tahap yang baik dengan strategi pelaburan kekal berdaya tahan walaupun berhadapan cabaran kemelesetan ekonomi kesan daripada pandemik Covid-19.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abdul Rahim Abdul Samad berkata, prestasi itu turut membuktikan pelaburan Tabung Haji masih relevan dan kekal selamat dengan pulangan yang mampan kepada pendeposit.
“Saya percaya keadaan ini juga didorong oleh kebijaksanaan barisan pengurusan Tabung Haji dalam melaksanakan pengurusan kos yang berhemah.
“Tabung Haji bukan sahaja menyumbang secara langsung kepada jemaah haji Malaysia dalam menunaikan haji dan memberi bantuan kepada golongan asnaf, malah pendeposit turut mendapat manfaat pulangan keuntungan atas simpanan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tambah beliau, prestasi ini juga menunjukkan rakyat Malaysia kekal yakin dengan kemampuan Tabung Haji dalam memberikan pulangan kepada pendepositnya walaupun dihujani dengan pelbagai isu panas sehingga dibahaskan di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menjelaskan, Tabung Haji kini dilihat sebagai satu institusi pelaburan penting untuk bumiputera di negara ini, justeru menjadikannya antara kayu pengukur kejayaan orang Islam di Malaysia.
Ujarnya, pulangan yang diumumkan amat baik memandangkan situasi ekonomi semasa yang cukup mencabar pada 2020 dengan majoriti syarikat-syarikat mencatatkan penurunan keuntungan kesan daripada pandemik, tambahan pula kadar simpanan atau deposit yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.
“Sektor hartanah antara pemberi pulangan yang penting kepada Tabung Haji turut berdepan masalah dalam situasi pandemik. Jumlah simpanan yang terus bertambah kepada RM76.7 bilion menunjukkan bertambahnya keyakinan pelabur dan merupakan ‘turnaround factor’ untuk menyelamatkan institusi itu.
“Sebagai contoh, pelaburan yang tidak menguntungkan dahulu dipindahkan ke sebuah anak syarikat SPV milik Kementerian Kewangan. Ini memberikan peluang kepada pengurusan Tabung Haji untuk lebih fokus kepada aset dan pelaburan berpotensi untuk memberikan keuntungan lebih baik di tahun yg mendatang,” tambahnya.
Tabung Haji sebelum ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat untuk tahun kewangan 2020 sebanyak 3.1 peratus, lebih tinggi berbanding agihan tahun sebelumnya pada 3.05 peratus.
Agihan tersebut melibatkan sebanyak RM2.24 bilion kepada sembilan juta pendepositnya, lebih tinggi berbanding RM2.14 bilion pada 2019.
Badan itu juga menyasarkan agihan keuntungan yang lebih stabil pada masa hadapan dengan mencari peluang pelaburan untuk mencapai pulangan terbaik walaupun berdepan keadaan pasaran pelaburan yang mencabar. – UTUSAN









