PONTIAN: UMNO masih berdiri teguh bersama Kerajaan Perpaduan walaupun Perikatan Nasional (PN) masih berusaha untuk menarik sokongan supaya mereka dapat membentuk kerajaan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan berterusan oleh PN untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menunjukkan mereka begitu terdesak untuk menjadi kerajaan.
Katanya, sekiranya 26 ahli parlimen UMNO menukar sokongan kepada PN, Kerajaan Perpaduan tetap tidak akan jatuh kerana masih mempunyai majoriti iaitu 121 kerusi.
“Oleh itu, sifir mana yang PN pakai kononnya mampu menerajui kerajaan Pusat jika berjaya menarik sokongan dari ahli parlimen UMNO.
“Malangnya, empat ahli parlimen PN telah menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan baru-baru ini iaitu Parlimen Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar dan Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Kesihatan Kesedaran Jantung Komuniti Benut di Dewan Muafakat Sg. Pinggan Benut, Pontian, hari ini.
Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan untuk bergabung dengan mereka.
Katanya, pencalonan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman adalah persediaan untuk PN mengambil alih pentadbiran kerajaan Pusat.
Tambah Ahmad yang juga ahli parlimen Pontian, sekiranya terdapat ahli parlimen UMNO yang ingin menarik sokongan, mereka perlu membayar RM100 juta seorang kepada parti UMNO.
“Sebelum menjadi calon Pilihan Raya Umum ke 15 ( PRU15) setiap calon UMNO telah menandatangani Aku Janji untuk setia kepada parti dan sekiranya mereka berpaling tadah, tindakan akan diambil,” jelasnya.
Katanya, andai ada ‘ turun’ 1 billion dari langit pun, Kerajaan Perpaduan ini tidak akan jatuh dan situasi tersebut hanya merugikan ahli parlimen UMNO yang menyeberang ke blok pembangkang.











