Banjir di Pantai Timur bertambah baik

Banjir di Pantai Timur bertambah baik

KEADAAN salah sebuah sekolah di Terengganu yang dinaiki air dalam kejadian banjir sejak Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Pantai Timur terutama Terengganu dan Kelantan bertambah baik.

Di Terengganu, mangsa banjir terus berkurangan kepada 711 orang daripada 186 keluarga di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Terengganu setakat pukul 4 petang ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, ketika ini terdapat enam PPS beroperasi di Kuala Nerus, tiga di Kuala Terengganu, tiga di Marang dan satu di Besut.

Menurutnya, jumlah mang­sa tertinggi ketika ini ialah di daerah Kuala Terengganu iaitu 405 orang daripada 110 keluarga di­ikuti Kuala Nerus (117 orang daripada 27 keluarga).

“Di Marang pula, terdapat 145 mangsa daripada 39 keluarga manakala di Besut, hanya satu PPS beroperasi menempatkan 44 mangsa daripada 10 keluarga.

“Kita memantau perkemba­ngan cuaca dan mangsa banjir hanya dibenarkan pulang sele­pas kawasan rumah mereka benar-benar selamat,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menyediakan pelan kontingensi bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terjejas akibat banjir.

Timbalan Pengarahnya, Az­man Othman @ Abdullah berkata, pelan kontigensi itu melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan Penjara Malaysia.

Menurutnya, pihaknya melalui Sektor Pentaksiran dan Pepe­riksaan juga telah mengadakan Taklimat Keselamatan Peperiksaan Awam di sini pada 26 Oktober yang lalu.

“Semua agensi itu telah me­nyatakan peranan masing-masing dalam membantu JPNT jika berlaku sebarang bencana termasuk calon-calon SPM yang berisiko terjejas banjir.

“Pejabat Pendidikan Daerah juga mempunyai pelan kontingensi banjir bagi persediaan ca­lon-calon dan pusat-pusat pe­periksaan yang dilanda banjir dan menyediakan bilik atau de­wan peperiksaan alternatif di ka­wasan berisiko,” katanya keti­ka dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Di Kelantan pula, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih diaktifkan selepas keadaan banjir semakin baik.

Menurut aplikasi InfoBenca­naJKM, setakat pukul 3 petang semalam menunjukkan 57 mang­sa masih berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja (Pasir Puteh) seramai 30 orang ma­nakala SK Tok Deh (Rantau Panjang) 27 orang.

Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Go­lok di Rantau Panjang masih di paras bahaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×