SEHINGGA kini terdapat empat ahli Parlimen dari gabungan Perikatan Nasional (PN) berubah memberikan sokongan kepada kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan alasan ‘demi rakyat’.
Wakil rakyat PN itu membuat keputusan tersebut setelah meneliti, memperhalusi dan mempertimbang dengan sehabis baik tentang permasalahan yang dihadapi rakyat terkini tentang kos sara hidup, himpitan berhubung keperluan asas yang perlu dipertingkat dan pembangunan di kawasan masing-masing.
Tentunya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), rakyat berharap suhu politik negara kembali tenang dan supaya dapat hidup harmoni tanpa dibelenggu ‘politiking’ keterlaluan seperti selepas PRU-14 yang menyaksikan berlaku tiga kali pertukaran Perdana Menteri.
Jadi, keputusan dibuat empat wakil rakyat PN dari Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli itu boleh dicontohi rakyat di Kemaman supaya kawasan itu boleh menjadi penghubung antara kerajaan Persekutuan dan negeri kerana tiada lagi kerusi Pusat dari Terengganu.
Selepas PRU15, semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu iaitu Marang, Kuala Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Kemaman, Setiu, Besut dan Hulu Terengganu dimenangi oleh Pas serta PN.
Jadi, jika Kemaman yang diadakan pilihan raya semula pada 2 Disember ini wakil rakyatnya adalah dari Kerajaan Pusat, pelbagai bantuan dan kebaikan dapat disalurkan kepada rakyat di kawasan tersebut.
Hakikatnya, keputusan PRK Parlimen Kemaman tidak mengubah apa-apa kerana Kerajaan Pusat diterajui Anwar sudah kukuh dengan sokongan dan dokongan oleh dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Pas pula hanya mahu mengekalkan kemenangan pada PRU15.
Penganalisis politik, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, rakyat Kemaman boleh melakukan perubahan bagi menjadikan kawasan itu penghubung antara Kerajaan Pusat dan negeri terutama dalam soal peruntukan dan pembangunan.
Kini segala-galanya terserah kepada rakyat Kemaman sama ada mahu kekal diterajui pembangkang atau melakukan perubahan.
Pada PRU15 lalu, Alias Che Hamid (Pas) menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.
Alias berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin pula mendapat 8,340 undi manakala calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab. Ghani hanya memperoleh 506 undian.
Rakyat Kemaman pilih kekal 8-0 atau 7-1 di Terengganu? Segalanya terletak atas pertimbangan pengundi di kawasan itu sama ada mahu ‘membakar’ satu-satunya jambatan yang ada atau sebaliknya. – UTUSAN











