Rafidah kecewa peluang wanita dalam jawatan tinggi kurang - Utusan Malaysia

Rafidah kecewa peluang wanita dalam jawatan tinggi kurang

RAFIDAH AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah wanita yang diberikan pera­nan besar dan jawatan tinggi da­lam sektor swasta masih di bawah 30 peratus berbanding dengan kemampuan golongan tersebut yang kini mampu menguasai pelbagai bidang.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang kecewa dengan situasi itu berkata, setiap in­di­vidu harus dilantik kerana kre­di­biliti­ bukan berdasarkan jantina.

Oleh itu katanya, kuota itu tidak sepatutnya wujud, kerana wanita perlu diberikan lebih peluang menerajui sektor kerajaan dan swasta berdasarkan merit dan kelayakan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Wanita mesti dipilih, dilantik dan diberi tempat kerana kebolehan dan kemampuannya, bukan kerana jantina atau pun semata-mata hendak memenuhi kuota seperti hendak mengisi kekabu dalam bantal.

“Sekiranya lebih 55 peratus wanita layak, maka, mereka wajar dilantik atau diberikan tempat. Perkara ini harus dilaksanakan bukan sekadar berpandukan kuota,” katanya ketika dihubungi semalam.

Statistik menunjukkan sa­saran 30 peratus wanita pembuat keputusan dalam sektor swasta masih belum dicapai. Setakat ini hanya 17.2 peratus daripada keseluruhan 937 syarikat memberi peluang kepada golongan wanita menerajui jawatan penting dalam sektor swasta.

Bagi Rafidah, golongan wa­nita juga harus mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang mantap supaya mempunyai kredibiliti untuk menjadi pemimpin.

Katanya, faktor jantina juga tidak boleh menjadi penghalang untuk mana-mana individu mencapai kejayaan.

“Setiap wanita atau lelaki mesti ada ciri-ciri asas kepimpinan dan dengan itu barulah boleh dianggap sebagai pe­mimpin dalam apa jua bidang.

“Jangan sesekali kita jadikan jantina menjadi kayu ukur kebolehan dan kemampuan untuk sesiapa jua yang mengetuai pa­sukan-pasukan dalam mana-mana bidang atau sektor,” katanya.

Menurutnya, kaum wanita tidak harus dihalang daripada berkecimpung dalam apa sahaja bidang serta mendapat sokongan tanpa perlu direndahkan kebolehannya.

“Anggapan-anggapan kuno dan negatif tentang wanita yang menyebabkan ada yang menganggap wanita kaum yang lemah. Semua halangan-halangan itu haruslah dibasmikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini