Muhyiddin tidak pertahan jawatan Presiden Bersatu

Muhyiddin tidak pertahan jawatan Presiden Bersatu

Muhyiddin
MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak akan mempertahan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti itu  akan datang.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, perhimpunan agung kali ini adalah yang terakhir beliau berada di pentas utama sebagai Presiden.

“Maka dengar, pada hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin nyatakan tak akan pertahankan jawatan Presiden pada pemilihan akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Bagaimanapun, pengumuman itu mendapat reaksi perwakilan yang meminta Muhyiddin menarik balik keputusannya tersebut.

Pengumuman dibuatnya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023 itu memberi bayangan beliau akan mengakhiri karier politiknya bagi penggal Parlimen kali ini.

Menurutnya, pengumuman tersebut dibuat bagi membolehkan beliau mewariskan kepemimpinan parti kepada barisan yang baharu yang dikatakan sebagai sudah pun tiba.

“Maka, pada hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah ini, saya ingin mengumumkan bahawa masa untuk saya mewariskan kepimpinan parti kepada barisan kepimpinan yang baharu telah pun tiba. 

“Untuk itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan sebelum hujung tahun hadapan yang tarikhnya akan ditentukan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi. 

“Ini adalah perhimpunan agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai Presiden parti. Ini kerana pemilihan parti akan datang akan dibuat di peringkat bahagian terlebih dahulu sebelum perhimpunan agung diadakan. 

“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya dalam ucapan dasar Presiden, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga bekas Perdana Menteri Ke-8 turut mencadangkan supaya kepemimpinan parti berbincang berkenaan pemilihan dan penentuan penyandang kerusi berkenaan pada pemilihan nanti untuk mengelakkan ahli-ahli berpecah.

“Dalam proses ini, sayugia saya ingin mencadangkan supaya barisan kepimpinan kanan parti bermusyawarah terlebih dahulu untuk memastikan tokoh-tokoh yang berpengalaman luas yang ada bersama kita pada hari ini mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan parti yang baharu nanti. 

“Ini penting supaya kekuatan yang ada pada parti kita dapat kita gembleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan. 

“Saya berdoa mudah-mudahan dengan kesatuan hati dan semangat setiakawan yang tinggi dalam kalangan barisan kepimpinan dan ahli-ahli Bersatu, proses peralihan kepimpinan parti akan berlangsung dengan penuh tertib dan harmoni. 

“Junjunglah perlembagaan parti. Elakkan perpecahan. Utamakan perpaduan supaya parti kita dapat bangkit dengan lebih gagah dan sakti lagi selepas ini,” ujarnya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu merupakan Presiden pertama Bersatu sejak ditubuhkan pada 2016 bersama pemimpin lain termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas dipecat daripada UMNO

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×