Salcon, HebeaBoard meterai perjanjian pembelian tenaga solar

Salcon, HebeaBoard meterai perjanjian pembelian tenaga solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Salcon Berhad (Salcon) mengumumkan anak syarikatnya, Fortune Command Sdn. Bhd. (FCSB), yang dipegang melalui cabang tenaga boleh diperbaharui (RE), Inergist Sdn. Bhd. telah memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) dengan HeveaBoard Berhad (HeveaBoard).

Di bawah SPPA itu, FCSB bertanggungjawab untuk memasang sistem solar fotovoltaik (Solar PV) dengan  kapasiti 862.5 kWp di atas bumbung kilang pembuatan papan partikel HeveaBoard di Gemas, Negeri Sembilan secara binaan-operasi sendiri, untuk tempoh 25 tahun.

Sistem PV solar itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada separuh pertama 2024, dengan sasaran menjana kira-kira 26.25 juta kWj tenaga bersih semasa tempoh operasi.

Ia bersamaan dengan menanam lebih 27,000 pokok atau mengurangkan pelepasan purata karbon dioksida (CO2) melebihi 680 tan setahun.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Salcon, Michael Leong berkata, komitmen Kumpulan yang tidak berbelah bahagi terletak pada menyampaikan kecemerlangan dan kualiti sambil terus maju dalam bidang RE.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan HeveaBoard kerana meletakkan kepercayaan mereka kepada kami sejak kerjasama awal pada 2021 apabila kami bekerjasama untuk pembangunan aset solar sulung 1.48MW di HeveaPac Sdn. Bhd.

“Kami sangat teruja untuk sekali lagi bergabung tenaga dengan mereka sambil memperbaharui dedikasi kami untuk mengurangkan pelepasan karbon untuk masa depan yang mampan,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, Kumpulan terus melabur untuk masa depan melalui cabang RE, Inergist.

Malah katanya, Kumpulan juga secara aktif mencari kerjasama dengan rakan kongsi yang berfikiran dan berkongsi visi sama untuk menyepadukan penyelesaian tenaga bersih dalam operasi mereka.

“Projek ini menandakan satu lagi kejayaan dalam menyumbang tambahan aliran mampan kepada pendapatan Kumpulan,” tambahnya.

Pengarah Urusan Kumpulan HeveaBoard, Yoong Hau Chun pula berkata, Kumpulan komited kepada kelestarian alam sekitar dan  dengan pemasangan sistem Solar PV terbaharu itu, Kumpulan akan mempunyai lebih daripada 3.0MWp RE.

“Antara semua inisiatif tenaga hijau yang dijalankan oleh Kumpulan, tenaga solar akan menjadi inisiatif hijau terbesar dari segi penjimatan elektrik. Penggunaan tenaga solar bukan sahaja akan mengurangkan kos operasi, ia juga akan mengurangkan jejak karbon dalam operasi perniagaan harian kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×