INSPIRASI NIAGA
“BERKALI-KALI petir datang dahulu barulah muncul pelangi”.
Itu antara kata-kata usahawan kosmetik dan produk kesihatan, Rosniwati Beharom, 45, yang telah diuji lebih tiga kali sebelum mampu mengecapi kejayaan hari ini.
Malah, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi. Dengan berpegang kepada prinsip pantang menyerah, dia kini bangga selepas perit akhirnya membuahkan hasil.
“Kalau nak diimbas semula, saya mula menceburi dunia bisnes ini sejak tahun 2003. Daripada berstatus enterprise, syarikat saya dinaik taraf menjadi sendirian berhad sejak Januari tahun 2020.
“Saya bermula dengan kerja menjahit baju, bergelar mak andam, buat baju sedia pakai dan tempahan bagi lelaki serta perempuan. Pendek kata dalam tempoh dari 2003 hingga tahun lalu, macam-macam bisnes saya cuba.
“Tapi awal tahun lalu, saya cabar diri buat benda lain pula. Di sini tercetuslah idea mengeluarkan produk kulit serba guna Saapuu,” katanya.
Ujian pertama yang sukar baginya bermula sejak awal perkahwinan dengan suaminya, Roshazly Rusali, 47 pada tahun 2001.
“Sebelum berkahwin, saya menjahit baju dan membantu emak berniaga di pasar malam. Saya berasal dari Seri Manjung, Perak dan suami pula dari Klang, Selangor. Selepas berkahwin, saya dan suami tinggal bersama keluarga mentua hampir 16 tahun di Klang.
“Pendapatan kami ketika itu kecil. Saya pernah bekerja di sebuah kilang di Shah Alam selama lima tahun sebagai pembantu akaun. Pada masa sama untuk menampung perbelanjaan, saya ambil upah menjahit pakaian di rumah. Bayangkan sampai satu ketika habis meja makan ibu mentua ada kesan gores roda surih ketika memotong pakaian,” jelasnya.
Selepas itu, dia membuat keputusan untuk berhenti dan cuba berjinak-jinak untuk menyewa kedai hasil pinjaman wang Majlis Amanah Rakyat (Mara).
“Bermulalah kerjaya saya sebagai tauke kedai jahit. Saya berkongsi separuh ruang kedai dan bayaran sewa dengan isteri kepada kawan suami yang menjalankan perniagaan butik andaman pengantin.
“Cuma operasi butik berkenaan tak lama kerana masalah keluarga. Bagaimanapun, saya mengambil alih perniagaan itu. Pada awal, semuanya berjalan lancar. Namun saya ‘jatuh’.
“Pada ketika itu, pihak katering pun bijak membuat pakej makanan berserta pelamin, baju kahwin dan solekan. Akhirnya perniagaan butik andaman saya itu merosot. Yang bertahan hanya kedai jahit baju saja,” katanya.
Selepas lapan tahun bertahan dengan perniagaan kedai jahitan, saya terus diuji tanpa henti.
“Pada penghujung tahun 2014, suami pula diserang pelbagai penyakit termasuk masalah psoriasis, gout dan angin ahmar peringkat awal ketika tidur. Ketika diserang sakit itu, kedua matanya langsung tak dapat melihat. Masalah matanya dapat dirawat. Berat badannya pun menyusut dari 110 kilogram (kg) ke 76 kg.
“Ketika menjaganya, kedai jahit tak dapat dibuka dan pendapatan pun tak masuk. Suami pun terpaksa berhenti kerja. Selepas suami keluar hospital, kami pun jarang balik rumah mentua. Masa banyak dihabiskan di kedai jahit termasuk bermalam di situ. Kedai yang sempit itulah suami dan anak terbaring dan berehat. Memang tak selesa tapi apa pilihan yang ada,” jelasnya.
Ujian baginya tidak terhenti di situ sahaja. Kali ini suaminya diserang sakit saraf iaitu Rheumato Attritis dan gout.
“Setiap bulan dia perlu mengambil suntikan khas untuk saraf. Satu suntikan berharga RM2,000. Ketika itu juga saya perlu membayar RM23,000 secara sekali gus kepada pihak hospital,” ujarnya.
Berkat kesabarannya dia dan suaminya, mereka berpakat menceburi perniagaan lain dan memiliki jenama produk sendiri iaitu Saapuu di bawah syarikat Mawar Shazni Sdn. Bhd.
“Produk saya mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan dan telah menjalani ujian makmal (lab test).
“Malah produk ini dicampur dengan ramuan asli dan organik seperti aloe vera, daun bidara, curcumin, minyak argan dan madu,” jelasnya.
Set rangkaian produk Saapu dihadirkan dalam dua jenis iaitu dalam bentuk gel sabun dan gel sapu. Harga untuk dua produk itu dalam lingkungan harga RM150. Ia juga dijual secara berasingan untuk dengan harga istimewa.
Kepada yang ingin menjana pendapatan mahupun membeli produk berkenaan, boleh layari www.saapuu.my atau Instagram: @saapuu.skin. – UTUSAN










