Lebih sedekad menjadi hab pengeluaran dua produk pertanian iaitu cili merah dan lembu bukanlah perkara mudah, namun Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat membuktikan mampu merealisasikannya.
Apabila bercakap tentang PPK Kuala Langat, masyarakat membayangkan cili merah yang berkilat dan panjang serta pasaran ratusan lembu korban setiap tahun.
Menurut Pengurus Besar PPK Kuala Langat, Mohd. Shakran Shamsudin, beliau mengemudi pertubuhan itu sejak 13 tahun lalu dan sebelum itu bertugas di Wilayah Persekutuan Labuan selama lima tahun.

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang pengurusan ladang dalam memastikan dapat mentadbir PPK Kuala Langat dengan efisien.
“Dahulu, di daerah ini petani melalui aktiviti penanaman cili merah dan penternakan lembu diusahakan secara kecil-kecilan. Alhamdulillah, dengan usaha keras, PPK Kuala Langat berjaya dan kini dikenali dengan memasarkan cili merah dan ternakan lembu sebagai produk utama.
“Fokus utama saya adalah meningkatkan ekonomi petani dan kini kita mempunyai seramai 5,919 ahli dan 32 unit peladang berbanding di awal penubuhannya pada 1973 hanya seramai 1,000 ahli sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
MEMAJUKAN PRODUK
Dalam pada itu, Mohd.Shakran kini sedang berusaha memajukan lagi kedua-dua produk itu berbanding di PPK lain yang mungkin ada menghasilkan tanaman seperti nenas dan sektor perikanan.
“PPK Kuala Langat sentiasa membantu petani dan penternak dalam pelbagai aspek termasuk memberi kursus, menyalurkan bantuan baja dan mewujudkan tanaman fertigasi untuk cili merah selain mencari jalan untuk membantu petani memaksimakan keuntungan.
“Kita kini sedang dalam usaha untuk mengaplikasi teknologi satelit melalui Internet Of Thing (IOT) atau internet segala benda dalam memastikan kawal selia penanaman cili merah dapat dilakukan secara digital tanpa menggunakan banyak tenaga buruh,” katanya.
Mengulas mengenai usahawan tani yang menghadapi masalah hingga menjejaskan kegiatan pertanian mereka, pihaknya akan membantu memberi khidmat nasihat daripada sudut teknikal dan kaunseling.
Katanya, jika usahawan tani menghadapi masalah penyakit tanaman mahupun penyakit ternakan lembu seperti tangan, kaki dan mulut (HFMD) semuanya akan dibantu bagi memastikan masalah tersebut segera diselesaikan.
“Usaha yang kita lakukan dalam membantu petani dan penternak ini menjadi salah satu faktor ahli PPK semakin bertambah setiap tahun antara 10 hingga 20 peratus.
“Namun, kita sering mengingatkan ahli untuk tidak mencampuraduk urusan pertanian dengan fahaman politik.
“Sikap berpuak-puak patut diketepikan jika hendak berjaya dan menjana pendapatan bulanan sehingga enam angka. Ini yang mendorong golongan muda semakin ramai cenderung menyertai PPK Kuala Langat memandangkan kita menyediakan sistem pertanian dengan ilmu petani yang komprehensif.
“Sebagai contoh, dalam bidang penanaman cili fertigasi kita ada usahawan muda berjaya yang menjadi mentor dan sudi berkongsi pengalaman dengan petani-petani muda iaitu Ikon Agro Selangor 2021, Norhashim Kamisan,” katanya.

Usaha golongan muda ini dilihat mampu memasarkan 60 tan cili merah sebulan. Selain itu, seorang lagi tokoh penternak muda iaitu Saipol Azmir Zainuddin yang berjaya dalam usia muda dan memiliki lebih 800 ekor lembu.
Menurut Mohd. Shakran, semasa PPK memulakan usaha menambah penternak lembu di Kuala Langat hanya lima penternak sahaja yang aktif.
Namun katanya, selepas 10 tahun daerah itu mempunyai 40 penternak lembu yang menjadi antara penyumbang utama di Lembah Klang.
“Malah, pada 2011 kita memasarkan lembu korban hanya 20 ekor bernilai RM56,000 kini statistik bagi 2019 sebanyak 2,200 ekor lembu telah dipasarkan oleh penternak bernilai RM9.9 juta di daerah ini.
“Statistik ini menunjukkan perancangan sistematik oleh pihak PPK Kuala Langat membuahkan hasil yang membanggakan dari tahun ke tahun sejak 10 tahun lalu.
“Satu formula untuk berjaya dalam bidang pertanian adalah berusaha dengan gigih dan jangan malu bertanya kepada mentor dan berani mencuba teknologi pertanian yang baharu,” katanya.
HALIA
Selain tanaman cili merah dan ternakan lembu, PPK Kuala Langat menyasarkan pemasaran halia pada masa depan.
Mohd. Shakran berkata, halia mempunyai potensi yang tinggi daripada sudut perubatan dan pemakanan.
“Kita mempunyai peserta dari Tanjung Sepat dan sekitar Daerah Kuala Langat yang menanam halia dan kumpulan ini yang menyumbang bekalan halia utama di daerah ini.
“Sebagai Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL), kita juga menerima halia dari Sepang dan Beranang,” katanya.

Mohd. Shakran berkata, setakat ini pihaknya memasarkan 30 tan halia setiap bulan.
Katanya, mentor bagi penanaman halia di Kuala Langat adalah Syawal Mispan dan kini seramai 35 penanam halia kini berada di bawah seliaannya.
“Pasarannya amat menggalakkan, mungkin halia bakal menjadi produk terbaharu kami seiring cili merah dan lembu,” katanya.
PROGRAM KONGSI REZEKI
Sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac tahun lalu, PPK Kuala Langat menyediakan pusat sehenti untuk warga setempat dan luar membeli hasil pertanian secara terus daripada ladang.
Program jualan tunai Kongsi Rezeki adalah bertujuan mengurangkan beban kewangan rakyat negeri ini, khususnya di Daerah Kuala Langat.
Mohd. Shakran berkata, program jualan tunai di sini menyediakan hasil ladang seperti sayur-sayuran dan bahan masakan dijual dengan harga berpatutan.
“Lebih 40 produk termasuk sayur-sayuran seperti cili merah, cendawan, kobis, kangkung, labu dipasarkan di sini.
“Sayur-sayuran segar tersebut bukan sahaja dari daerah tersebut tetapi turut dihantar dari luar daerah tersebut termasuk dari Johor, Melaka dan Perak.
“Sejak lebih 10 bulan PKP pertama bermula, kita melaksanakan kempen jualan tunai Kongsi Rezeki di sini pada Isnin, Rabu,Jumaat dan Sabtu. Hasil jualan sehari boleh mencecah RM3,000 hingga RM5,000.
“Selain jualan sayur-sayuran, kita turut memasarkan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) seperti ikan pekasam, kerepek pisang dan lain-lain,” katanya.











