Banjir di Terengganu, Kelantan makin buruk - Utusan Malaysia

Banjir di Terengganu, Kelantan makin buruk

BEBERAPA kenderaan meredah banjir ketika tinjauan di Kampung Alur, Surau Panjang di Kuala Terengganu semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu dan Kelantan semakin buruk apabila hujan di kedua-dua negeri itu berterusan dan menyebabkan jumlah mang­sa yang dipindahkan semakin meningkat.

Di Terengganu, 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di­buka di lima daerah iaitu sembilan di Kuala Nerus, empat di Kuala Terengganu, masing-masing dua di Setiu dan Marang serta sebuah di Besut.

Turut terjejas, 13 sekolah terpaksa ditutup manakala sembilan lagi sekolah ditutup kerana dijadikan PPS.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, setakat pu­kul 4 petang semalam, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat lebih sekali ganda kepada hampir 3,000 berbanding 1,431 mangsa pada pukul 8 pagi.

Besut menjadi daerah terbaharu dilanda banjir de­ngan 253 mangsa daripada 54 keluarga dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut. Daerah Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,105 orang daripada 295 keluarga berbanding 699 orang daripada 189 keluarga sebelum ini.

Dua PPS baharu dibuka di Kuala Nerus iaitu Surau Kampung Mak Jintan dan SK Gong Badak, menjadikan jumlah ke­seluruhan sembilan PPS di daerah tersebut.

PPS

Tujuh lagi PPS ber­operasi ketika ini ialah Dewan Serbaguna Tok Jembal, Dewan Flat Batin Perdana, Sekolah Kebangsaan Teluk Ketapang, SK Bukit Nenas dan SK Bukit Tunggal.

Dua lagi Dewan Serbaguna Wakaf Catur dan Balairaya Banggol Tok Jiring.

Di Kuala Terengganu, jumlah mangsa terus meningkat kepada 776 orang daripada 228 keluarga berbanding 574 mangsa daripada 173 keluarga.Kesemua mangsa ditempatkan di PPS SK Chendering, SK Atas Tol, SK Pasir Panjang dan SK Gong Tok Nasek. Di Besut 253 mangsa daripada 54 keluarga dipindahkan ke PPS.

Sekretariat jawatankuasa itu melaporkan, mangsa banjir juga meningkat di daerah Marang iaitu 596 orang daripada 152 keluarga berbanding 132 mangsa daripada 32 keluarga pagi semalam. Kesemua me­reka kini ditempatkan di SK Bukit Gasing dan SK Rusila.

Di Setiu, jumlah mangsa kekal tidak berubah di dua PPS iaitu Balairaya Kampung Bintang dan Balairaya Kampung Bari Besar yang menempatkan 26 mangsa daripada enam ke­luarga.
Ketika ini, hujan lebat dan sederhana masih berterusan di beberapa daerah di Terengganu yang dijangka berlarutan hingga Khamis ini.

KELANTAN

Di Kelantan, hujan lebat sejak semalam menyebabkan jajahan Pasir Puteh dan Bachok mula dilanda banjir dengan 79 mangsa dipindahkan ke tiga PPS setakat pukul 6 petang.

Menurut aplikasi InfoBencanaJKM, semua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat (Bachok) dan SK Dalam Rhu serta SK Wakaf Raja ma­sing-masing di Pasir Puteh.

Jumlah tersebut melibatkan 79 buah keluarga yang terdiri daripada 41 dewasa, 34 kanak-kanak, empat orang kurang upa­ya dan tujuh orang bayi.

Sementara itu semua sungai utama di negeri ini iaitu Galas, Lebir, Kelantan dan Golok masih paras normal.

Begitu juga jalan-jalan utama masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.
Sehingga lewat petang, beberapa kawasan masih mene­rima hujan lebat dan jumlah mangsa banjir dijangka terus meningkat sekiranya keadaan berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini