Belum ada perbincangan rasmi kerjasama UMNO-Warisan-KDM

Belum ada perbincangan rasmi kerjasama UMNO-Warisan-KDM

UMNO KDM dan WARISAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hanya perbincangan tidak rasmi telah dilakukan bagi melihat kemungkinan kerjasama antara UMNO, Parti Warisan (Warisan) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Demikain kata, Ketua Penerangan KDM, Dr Oswald Aisat Igau mengenai bayangan kerjasama antara UMNO, Warisan dan KDM seperti yang dinyatakan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Sabtu.

OSWALD AISAT IGAU

Oswald berkata, biarpun perbincangan tidak rasmi telah dilakukan antara Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, Bung Moktar dan wakil Warisan namun, cadangan kerjasama itu belum dibawa ke dalam mesyuarat parti masing-masing.

Melalui perbincangan awal itu, parti KDM akan memberi fokus kepada kawasan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) manakala, UMNO dan Warisan menumpukan kawasan Melayu.

Dengan cadangan sebegitu, tidak akan berlaku pertembungan dalam agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Secara prinsipnya begitulah yang dicadangkan. Namun, perkara ini perlu dibincang oleh parti masing-masing. Namun, setakat ini, KDM belum lagi membawa cadangan itu dalam mesyuarat parti sebab belum ada mesyuarat terbaharu.

“Tapi, dengan pengumuman Ketua Menteri baru-baru ini bahawa kemungkinan pilihan raya akan diawalkan maka, kami akan usulkan cadangan itu dalam mesyuarat yang akan diadakan pada Disember ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut katanya, pada masa ini pendirian parti KDM masih lagi terbuka kepada sebarang bentuk kerjasama kerana belum terikat dengan mana-mana kerjasama rasmi.

Oswald berkata, selagi belum ada kerjasama rasmi maka, mereka terbuka dengan mana-mana pihak untuk membentuk kerjasama.

“Sebarang idea atau cadangan kerjasama, kami masih terbuka dengan mana-mana pihak. Ketika ini, kami belum terikat dengan mana-mana parti untuk membentuk gabungan,” katanya.

Pada Sabtu, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan Warisan dan KDM bagi menghadapi PRN Ke-17.

Namun katanya, masih terlalu awal untuk beliau menyentuh tentang rakan kerjasama kerana tumpuan sekarang adalah untuk memantapkan UMNO Sabah.

“Seperti saya nyatakan sebelum ini, UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya bekerjasama dengan mana-mana parti yang menghormati perjanjian bagi membela kepentingan rakyat Sabah,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×