SEREMBAN: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Negeri Sembilan menggesa kerajaan negeri mempercepat proses tambah baik dasar perumahan di negeri ini yang disifatkan usang dan tiada perubahan berbanding situasi semasa dalam industri masa kini.
Pengerusinya Desmond Yap Poh Seng berkata, tiada tambah baik terhadap Dasar Perumahan Negeri Sembilan dilakukan sejak ia berkuat kuasa pada 2015 meskipun pemaju dari tahun ke tahun perlu menanggung peningkatan pelbagai kos.
Menurut beliau, menerusi dasar berkenaan, setiap pemaju perlu membina 20 peratus rumah mampu milik dengan harga maksimum RM80,000 pada setiap projek perumahan baharu dan syarat itu dilihat menambah beban syarikat-syarikat pemaju.
“Prestasi jualan hartanah di Negeri Sembilan memang baik dan banyak prospek namun bagi pelancaran projek baharu ia agak berkurangan dan kebanyakan ahli memaklumkan ia kerana dasar perumahan di negeri ini yang kurang memberangsangkan, sejak 2015 sehingga sekarang tiada perubahan.
“Menerusi dasar berkenaan, pemaju perlu menyediakan rumah mampu milik type A pada harga RM80,000 sedangkan kos untuk sebuah rumah itu anggarannya lebih kurang RM170,000 termasuk kos tanah, infrastruktur. Bagi setiap unit pemaju terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM90,000.
“Dasar ini kena ubah, ia sudah lama sejak 2015, sejak itu kos sudah naik, kos bahan binaan, gaji pekerja, kos tanah, infrastruktur. Ini yang menyebabkan pemaju tidak berminat untuk membuat pelancaran baharu rumah kerana sudah tidak lagi untung dan mereka kini ubah ke projek-projek pembinaan komersial pula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Desmond mengulas mengenai Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama 2023 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang menunjukkan Negeri Sembilan mencatatkan penurunan tinggi dalam pelancaran baharu projek kediaman iaitu sebanyak 77.3 peratus daripada 1,420 unit pada separuh pertama 2022 kepada 323 unit pada separuh pertama tahun ini.
Beliau menambah, kerajaan negeri boleh mencontohi langkah Selangor yang sentiasa menambah baik dasar perumahan setiap lima tahun malah dasarnya juga berbeza mengikut zon dan kawasan.
“Kaedah itu bagus kerana contohnya saya berpendapat, dasar di Seremban tidak boleh sama dengan dasar di kawasan Jempol atau Gemas di Tampin, permintaan, pendapatan isi rumah, kos tanah, infrastruktur di antara kedua kawasan ini sudah tentu berlainan. “Kami di Rehda Negeri Sembilan sudah ada perbincangan mengenai perkara ini dengan kerajaan negeri dan mereka sudah bersetuju untuk tambah baik. Kami bukan mahu menyalahkan cuma minta ia dipercepatkan sahaja, “ ujarnya.-UTUSAN










