PUTRAJAYA: Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan menyambung sidang hari ini bagi mendengar petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel itu dijadualkan mendengar penghujahan pihak-pihak yang dinamakan sahabat mahkamah (Amicus Curiae) dalam petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan.
Pada pendengaran kali pertama 17 Ogos lalu, Hakim Tengku Maimun mengingatkan semua pihak bahawa petisyen berkenaan hanya berkaitan pentafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada kena mengena dengan doktrin Islam.
“Oleh yang demikian tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ini ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam di negara ini,” ujar Ketua Hakim Negara.
Panel itu turut dianggotai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli.
Turut menganggotai panel, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri P. Nalini, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Pada prosiding itu, mahkamah sebulat suara menolak permohonan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan untuk bertindak sebagai pencelah dalam pendengaran petisyen berkenaan atas alasan permohonan itu tidak berasas.
Sebelum ini, mahkamah mendengar penghujahan Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kedua-dua pempetisyen bahawa sejumlah peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.
Beliau menghujahkan, peruntukan tersebut tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan tiada kuasa untuk menggubal peruntukan undang-undang tersebut manakala sejumlah peruntukan undang-undang jenayah yang dipertikaikan itu merupakan bidang kuasa Parlimen.
Antaranya termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).
Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).
Sementara itu, salah seorang peguam yang mewakili Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Kamaruzaman Muhammad Arif berhujah, peruntukan undang-undang itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta sah untuk dikuatkuasakan.
Hujah beliau, peruntukan yang dicabar itu merupakan undang-undang mengenai kesalahan yang dilakukan terhadap perintah agama Islam yang termasuk di bawah Butiran 1, Senarai Negeri, bukan undang-undang jenayah yang tertakluk kepada Butiran 4(h), Senarai Persekutuan.
Kamaruzaman turut memohon mahkamah mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari 2021 yang membenarkan Iki Putra Mubarrak mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.
Sementara itu, peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) selaku pemerhati berhujah, pempetisyen tiada hak di sisi undang-undang (locus standi) untuk mengemukakan petisyen berkenaan.
Esok panel berkenaan akan mendengar penghujahan peguam-peguam yang mewakili sahabat mahkamah terdiri daripada Sisters In Islam (SIS), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). – UTUSAN











